Monday, March 18, 2013
Monday, March 11, 2013
Pembinaan Lebuhraya Rakyat Telah Bermula
MACHANG: Awal Febuari lalu kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai bermula. Ia bukan gimik seperti pernah diperlekeh sesetengah pihak sebelum ini.Bermula di Bukit Bakar, Dun Kemuning kerja-kerja pembinaan mula dilaksanakan. Bukan sekadar rakyat yang akan mendapat manfaat, sebaliknya banyak peluang kerja ditawarkan melalui projek ini.
Kontraktor tempatan juga berpeluang mengisi tender projek yang ditawarkan. Inilah sejarah baru di Malaysia apabila projek lebuh raya dibina kerajaan negeri, sedangkan di negeri lain di bawah kerajaan persekutuan. (Sumber: Harakahdaily)
Wednesday, January 2, 2013
Debaran Berakhir
Debaran menanti buah
daripada pohon-pohon yang saya tanam berakhir apabila ia gugur satu persatu
pada 19 November 2012 yang lalu. Dan buah-buahnya banyak yang baik, manis dan
boleh dimakan. Kerusi panas sebagai guru kelas dan guru Bahasa Melayu kepada
sebuah kelas yang menjadi harapan besar di SK Jeram Tekoh saya duduki dalam
keadaan resah gelisah sepanjang tahun 2012. Tempoh itu bukan sahaja menguji
keupayaan murid-murid malah turut menguji keupayaan saya yang buat pertama
kalinya diberi tanggungjawab seumpama itu sepanjang tempoh 15 tahun mengajar. Dalam tempoh itu saya telah memegang pelbagai
jawatan di sekolah dan mengajar pelbagai jenis mata pelajaran bermula sebagai
guru Sains, Bahasa Melayu, Kehamiran Hidup, Pendididkan Jasmani, Sivik dan Kewarganegaraan,
Pendidikan Moral, Matematik, Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni, Dunia Muzik dan
pernah menjadi guru kelas pemulihan khas selama beberapa tahun serta menjadi
guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa selama 2 tahun tetapi belum pernah
diberi tanggungjawab mengajar Bahasa Melayu untuk murid-murid UPSR.
Bahu yang memikul menjadi
bertambah berat apabila terpaksa menggalas pelbagai tugas besar yang lain
selain terpaksa menyelesaikan tugas sebagai pelajar di salah sebuah university
tempatan. Bebanan berat ini bagaimana
pun saya galas dengan penuh sedar, yakin dan bertanggugjawab. Dan hasilnya
tidaklah mengecewakan walaupun saya gagal memberikan gred ‘A’ kepada semua
pelajar yang diajar, namun sudah cukup dengan 11 orang daripada 22 orang murid mendapat
gred ‘A’ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman yang terbukti soalannya
agak sukar daripada biasa dan 9 daripada 22 orang murid mendapat gred ‘A’ dalam
Bahasa Melayu Penulisan. Selebihnya adalah gred ‘B’dan ‘C’. Alhamdulillah, semua murid dari kelas yang
saya ajar mencatatkan kelulusan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Walaupun
hanya 2 orang daripada beberapa orang murid yang menjadi harapan sekolah
mendapat keputusan 5A, namun ribut kencang di hati saya menjadi reda sebaik sahaja mengetahui 2
orang murid tersebut adalah murid yang saya jadikan indicator kepada
keberkesanan pengajaran saya . Tahniah buat murid tersayang Muhammad Asyraf bin
Abdullah dan Mohd. Akiff bin Abdul Ghaffar yang telah mengamalkan sepenuhnya
segala pesanan yang cikgu berikan.
Muhammad Akiff bin Abdul Ghaffar (5A)
Muhammad Asyraf bin Abdullah (5A)
Nor Diena bt. Azizi (4A 1B)
Wajah-wajah cemerlang UPSR 2012
Friday, September 7, 2012
Selamat Jalan Pak Sheikh
Terkejut dan sedih. Itulah perasaan saya apabila mendengar
berita pemergian Datuk Sheikh Mustapha Shikh Shukor, bapa kepada Angkasawan
Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie. Beliau menghembuskan nafas
terakhir dalam usia 77 tahun setelah beberapa tahun menderita barah usus di
Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM) pada pukul 9.26 pagi tadi. Datuk Sheikh
Mustapha meninggalkan seorang balu, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad dan 5 orang
anak.
Sambil menghadiahkan surah Al-Fatihah, terkenang pada pengalaman
lebih 10 yang tahun lalu (sekitar tahun 1997, 1998, 1999, 2000 dan 2001).
Beliau yang saya dan rakan-rakan panggil sebagai ‘Pak Sheikh’ adalah salah
seorang peserta yang amat rajin mengikuti bengkel-bengkel penulisan cerpen
anjuran Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) yang sering diadakan di rumah
GAPENA atau di rumah PENA, Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur. Saya yang
ketika itu adalah Naib Setiausaha KEPEZI sering bersama-sama beliau dalam
siri-siri bengkel yang diadakan. Dengan bayaran RM300 untuk setiap kali
bengkel, karya-karya kami akan ‘dibedah’ dan ‘dicincang’ oleh Puan Zaharah
Nawawi, salah seorang penulis wanita tersohor tanah air. Puan Zaharah juga
turut menjemput penulis-penulis mapan yang lain untuk mengkritik dan memberi
pandangan tentang hasil tulisan kami.
Pak Sheikh, sebagaimana saya dan beberapa orang rakan yang
lain tidak jemu-jemu belajar menulis cerpen walaupun umur beliau pada ketika
itu boleh dikatakan sudah lewat (sekitar 60-an) untuk belajar menulis cerpen.
Bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI biasanya hanya disertai sekitar 5
hingga 10 orang peserta sahaja. Hanya mereka yang benar-benar ingin menjadi
penulis dan sanggup mengeluarkan bayaran RM300 sahaja akan menyertai bengkel.
Oleh kerana peserta tidak terlalu ramai dan mengambil masa selama tiga hari
bagi setiap bengkel yang diadakan, hubungan kami para peserta menjadi sangat mesra,
rapat dan bagaikan satu keluarga. Saya masih menyimpan sehingga kini sebuah
cerpen karya beliau yang dibengkelkan. Selain Pak Sheikh, saya turut terkenang
rakan-rakan seperjuangan yang sering menghadiri bengkel-bengkel tersebut
seperti Pn. Aliah Ahmad (kami panggil mama), Nora Shaari (Setiausaha KEPEZI),
Datin Siti Aminah Yusof (pensyarah Maktab Perguruan Ilmu Khas), Sakdon Kayon,
Aminah Mokhtar, Cikgu Sapura, Faizati Mohd. Ali, Azizah Hashim, Zaid Akhtar dan beberapa orang
lagi.
Salah sebuah cerpen Pak Sheik yang dibengkelkan dalam Bengkel Penulisan Cerpen
KEPEZI yang masih saya simpan.
KEPEZI yang masih saya simpan.
Pak Sheikh adalah seorang insan yang sangat baik budi bahasanya dan menghormati orang lain. Sepanjang berbengkel saya tidak kekok untuk berbicara dengannya walaupun ketika itu saya masih terlalu muda jika hendak dibandingkan dengan beliau yang saya anggap telah berada pada kedudukan yang tinggi. Entah kenapa saya selalunya sukar melupakan seseorang yang baik dan berhemah tinggi biar pun telah bertahun-tahun terpisah. Sehingga kini saya masih terkenang pada sikap rendah diri dan budi pekertinya yang mulia itu.
Pada hari ini, 7 September 2012, saya telah kehilangan
seorang kenalan yang amat disanjung. Pak Sheikh telah dijemput oleh penciptanya
ke negeri yang kekal abadi. Takziah kepada seluruh ahli keluarganya. Semoga
Allah SWT menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang soleh. “Selamat
jalan Pak Sheikh.” Kami akan mengikut jejak langkahmu juga.
Friday, August 17, 2012
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Sempena hari
mulia yang akan tiba esok, saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari
Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung blog ini dan semua kenalan sama ada
yang jauh mahu pun dekat. Mohon maaf atas keterlanjuran bicara dalam blog ini
dan sepanjang perkenalan kita. Mudah-mudahan hari raya yang bakal disambut
nanti akan dirahmati dan diberkati Allah. Saya macam biasa la. Sebelum hari raya
hingga petang raya pertama akan berada di rumah mertua di rumah mertua di Sg.
Sam Kuala Krai. Petang raya baru pulang ke rumah orang tua di Dewan Beta Kota
Bharu.
Wednesday, August 15, 2012
Bersahur dengan Daging Pelanduk Pula
Sekali
imbas, daging pelanduk kelihatan seakan-akan daging ayam kerana warnanya agak putih apabila
digoreng. Rasanya yang lembut dan kenyal amat enak dimakan sama ada dengan nasi atau diratah begitu saja. Agaknya inilah tuah
saya yang kembali bertugas di tempat sendiri. Kalau di Kuala Lumpur dahulu, usahkan dapat
makan, melihat dagingnya pun saya tak pernah.
Kali
pertama makan daging pelanduk pada tahun lalu, ketika isteri saya sedang
mengandungkan anak ketiga kami. Saya beli dengan harga RM40 (biasanya RM50) daripada salah
seorang penduduk kampung isteri saya yang memasang perangkap di hutan. Tuah
bulan puasa pada tahun ini pula saya dapat merasai daging pelanduk buat kali
kedua. Apabila bangun bersahur pada pagi ini, saya dihidangkan daging pelanduk
goreng oleh ibu mertua saya. Rupa-rupanya, ketika saya sedang nyenyak tidur
pada malam tadi, adik ipar saya pulang membawa dua ekor pelanduk yang diperoleh
ketika bersama-sama kawannya pergi berburu. Kedua-dua ekor pelanduk tersebut
diberikan kepada adik ipar saya kerana kawannya itu sydah selalu sangat makan daging pelanduk. Menurut ibu mertua saya, pelanduk yang baru
diperoleh ini lebih besar sedikit daripada yang saya beli dahulu. Dagingnya pun
lebih banyak.
Ketika
mengunyah daging pelanduk pada waktu sahur, gigi saya tergigit beberapa biji peluru
senapang yang masih terselit di celah-celah dagingnya. Pada mulanya saya sangkakan
serpihan tulang kecil, tetapi apabila diperhatikan betul-betul, rupa-rupanya
itu adalah peluru senapang yang telah menyebabkan kematiannya. Malah saya telah tertelan
sebiji peluru yang tiba-tiba hilang dalam mulut.
Bukan
sahaja daging pelanduk, saya juga pernah merasa betapa lembutnya daging landak.
Ditakdirkan seekor landak tersesat masuk ke dalam rumah adik ipar saya yang
terletak di tepi bukit. Lalu dia menangkapnya dan membawa ke rumah mertua saya
untuk disembelih. Saya yang kebetulan
pulang pada hujung minggu turut memperoleh rezeki yang tidak disangka-sangka.
Dapatlah saya merasa daging landak yang digulai dan digoreng. Bagaimana pun,
sebagaimana memakan daging pelanduk, saya terbayang rupanya landak yang seakan-akan
tikus ketika meratah dagingnya. Ia agak mengganggu tumpuan saya untuk
menghayati keenakan dagingnya yang jarang-jarang ditemui itu.
Sunday, August 12, 2012
Qiam With Me: Kasih Rakyat Bertambah
Akhirnya saya terlepas juga untuk turut berada di Istana Mahkota, Kubang
Kerian. Sejak mengetahui berita Sultan Muhammad V akan mengadakan program ‘Qiam With Me’ (qiamullail bersama-sama
Sultan) ketika mengikuti kuliah Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu sehari sebelum
puasa, saya telah memasang cita-cita untuk menjejakkan kaki ke istana yang
menjadi kebanggaan rakyat negeri Kelantan itu. Saya tidak mahu ketinggalan
untuk qiamullail bersama-sama Baginda Sultan. Sayangnya saya tidak tahu tarikh
sebenar proram tersebut kerana sepanjang bulan Ramadhan saya tidak sempat ke
Medan Ilmu. Jadual program Qariah Ramadhan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV
juga kehabisan.
Saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini kerana inilah pertama kali
istana negeri dibuka kepada orang ramai untuk menghidupkan bulan Ramadhan. Ia
bukan sahaja pertama kali diadakan di negeri ini, malah juga pertama kali di Malaysia. Setakat
ini belum ada mana-mana istana negeri di Malaysia dibuka kepada orang ramai.
Apa lagi untuk berqiamullail. Inilah keistimewaan Sultan Kelantan. Dan inilah
kelebihan yang dimiliki oleh rakyat negeri Kelantan. Memiliki Sultan yang bukan
sahaja berjiwa rakyat bahkan dilihat amat
mementingkan cara hidup beragama. Keistimewaan dan kelainan Sultan Muhammad V telah lama meniti dari bibir
ke bibir rakyat negeri Kelantan.
Program bersejarah ini diadakan pada hari Khamis, 9 Ogos 2012 bersamaan 20 Ramadhan 1433 hijrah di Dewan
Jubli Perak, Istana Mahkota. Program yang julung-julung kali
diadakan itu menerima sambutan amat luar biasa daripada rakyat yang mahu
bersama-sama sultan kesayangan mereka. Khabarnya, ribuan rakyat negeri Kelantan
hadir memenuhi dewan tersebut sehingga melimpah ke luar dewan. Di luar dewan,
orang ramai memenuhi khemah-khemah yang disediakan.Turut hadir dalam program tersebut
ialah pemimpin-pemimpin dan orang-orang kenamaan negeri termasuk Menteri Besar.
Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan oleh penceramah terkenal dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus. Kemudian diteruskan dengan solat sunat Tarawikh. Qiamullail pula dimulakan kira-kira pukul 4.00 pagi sehingga waktu sahur dan diteruskan dengan solat Subuh secara berjemaah.
Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan oleh penceramah terkenal dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus. Kemudian diteruskan dengan solat sunat Tarawikh. Qiamullail pula dimulakan kira-kira pukul 4.00 pagi sehingga waktu sahur dan diteruskan dengan solat Subuh secara berjemaah.
Dengan adanya program seumpama ini telah menambahkan rasa
kasih dan cinta rakyat negeri ini kepada Tuanku Sultan. Saya agak terkilan kerana
terlepas untuk mengikuti program ini. Kebetulan pada tarikh yang sama saya
tidak pulang ke Kota Bharu. Kini saya hanya boleh berharap agar program
seumpama ini diadakan lagi pada masa-masa yang akan datang dan saya dapat menghadirinya.
Berikut adalah antara gambar-gambar sekitar program ‘Qiam With Me’yang saya petik daripada harakahdaily.net.
Berikut adalah antara gambar-gambar sekitar program ‘Qiam With Me’yang saya petik daripada harakahdaily.net.
Ustaz Azhar Idrus sedang menyampaikan kuliah.
Ribuan rakyat yang hadir
Sultan Muhammad v dan Tengku Mahkota Kelantan
(sebelah kanan baginda) mengaminkan doa.
(sebelah kanan baginda) mengaminkan doa.
Bersahur dengan Daging Burung
Seingat saya sudah hampir 30 tahun
tidak merasai daging burung-burung hutan yang enak dan rangup. Ketika masih
kecil saya sering mengikut kawan-kawan ke hutan melastik burung. Ada beberapa orang kawan
saya yang handal melastik burung. Burung-burung kecil sebesar ibu jari akan
jatuh terkulai apabila terkena anak batu yang menjadi peluru lastik. Saya yang
menjadi tukang sembelih sebaik sahaja burung-burung yang patah sayap atau lebam
di dada itu jatuh ke bumi. Masuk ke hutan melastik burung memang pengalaman
yang amat menyeronokkan. Saat yang paling menyeronokkan adalah apabila burung
yang dilastik jatuh. Kini pangalaman sewaktu kecil telah lama berlalu. Hanyut
berlalu dengan cepatnya.
Burung-burung yang telah disembelih tetapi bulu-bulunya
masih disaluti getah pelekat.
Sebelum ini saya juga sering
mendengar cerita isteri saya yang memberitahu dia sering menikmati daging
burung dengan banyaknya ketika masih kecil kerana abang sulungnya, Zamri (abang
ipar saya) yang kini menjadi tauke Kedai Emas ZR Suria di Gua Musang sering
menangkap burung-burung di hutan dengan menggunakan getah pelekat atau pukat.
Saya hanya dapat membayangkan betapa seronoknya menikmati daging burung dengan
banyak berbanding seekor atau dua sebagaimana yang saya rasai sewaktu masih
kecil. Bagaimana pun pada petang Jumaat lalu, adik ipar saya, Rudi pulang membawa
sekumpulan burung yang mengena getah pelekat yang dipasangnya.
Burung-burung yang telah dicabut bulunya.
Burung-burung ditangkap menggunakan
getah pelekat yang dipasang berhampiran lopak-lopak air atau takungan kecil di
dalam hutan. Antara sekitar pukul 12.00 tengah hari hingga 6.00 petang
burung-burung akan turun mandi di kawasan takungan air tersebut. Kali ini,
lebih 20 ekor burung merbah melekat pada getah pelekat yang dipasang. Menurut
adik ipar saya, lebih banyak burung dapat ditangkap jika musim kemarau atau
musim panas kerana lebih banyak burung akan turun mandi untuk menyejukkan
badan. Biasanya jika musim panas dia akan memperoleh tangkapan melebihi 100
ekor.
Seekor burung murai turut menjadi
mangsa getah pelekat adik ipar saya. Burung murai yang dikenali sebagai ‘murai
cere’ oleh rata-rata penduduk Kelantan ini dikatakan sangat berharga dan boleh
mencecah harga beratus-ratus ringgit jika dijual. Malah kawan saya pernah menjual burung murai miliknya dengan harga RM 1000.00. Saya pernah diperdengarkan
dengan 14 lagu nyanyian burung murai yang dirakam menggunakan telefon bimbit
oleh salah seorang guru di tempat saya bertugas sekarang. Sungguh unik dan
menawan. Saya yang jahil tentang nyanyian burung murai (sebenarnya burung
berzikir kepada Allah) tiba-tiba terpukau dengan keunikan itu. Maha indah
ciptaan Allah. Barangkali itulah sebabnya burung murai menjadi amat berharga
bagi pengemar-penggemarnya.
Burung 'murai cere' diletakkan di dalam sangkar.
Pagi semalam, Sabtu, 11 Ogos lalu,
saya makan sahur berlaukkan burung merbah goreng, ikan patin masak tempoyak dan
tomyam campur yang dimasak oleh ibu mertua saya. Badan burung merbah agak besar
sedikit berbanding burung kelicap yang berwarna warni atau burung ‘cak padi’
yang hitam legam (tak tau nama betulnya) yang saya makan pada waktu kecil
dahulu. Daging dan tulang yang rangup dikunyah dengan enaknya. Alhamdulillah.
Sunday, July 1, 2012
Monday, June 18, 2012
Tandatangan Keramat
D.Y.M Sultan Muhammad ke-v berkenan menurunkan 'tandatangan keramat' baginda ke atas plak yang tertulis Titah baginda pada sesi Pembukaan Sidang DUN Negeri Kelantan yang lalu. Titah tersebut berbunyi,
"Beta berharap gas ini dapat didaratkan di negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan Zon Industri Petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak tahun 1990-an lagi".
Sejurus selepas Tuanku menurunkan tandatangan tersebut, baginda meminta YAB. Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan turut menurunkan tandatangan sebagai sokongan di sebelah tandatangan baginda. Peristiwa bersejarah ini berlangsung ketika baginda Sultan berkenan melawat gerai sebuah Gabungan Profesional Kelantan Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Kelantan (GEGAR) sempena Expo Pertanian Negeri Kelantan yang berlangsung pada 5 hingga 10 Jun lalu di perkarangan Stadium Sultan Muhamad ke-Iv, Kota Bharu baru-baru ini.
Baginda Sultan sedang menurunkan tandatangan.
Menteri Besar Kelantan sedang menurunkan tandatangan
setelah diminta oleh Baginda Sultan.
Inilah tandatangan bersejarah sebagai simbol sokongan
terhadap tuntutan royalti minyak Kelantan.
Kerajaan Negeri Kelantan membuat
tuntutan royalti berdasarkan perjanjian di bawah Akta 144 Petroleum
Development Act 1974 yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri dan
Persekutuan. Laporan dari Jabatan Perangkaan menyatakan bahawa cari gali
petroleum itu telah beroperasi sejak tahun 2004 dan tuntutan royalti lebih RM1
bilion itu dikira bermula dari 2004 hingga kini.
Subscribe to:
Posts (Atom)







