30 RabiulAkhir 1432 bersamaan
4 April 2011
السلأم عليكم ؤرحمة اللة ؤبركاتة
Ke Majlis ;
Yang Amat Berhormat
Dato’ Sri Hj Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA
YAB Dato’ Sri,
PETROLEUM NEGARA
Atas
kemurahan Allah S.W.T mengurniakan rezeki ke atas bumi Malaysia untuk
dinikmati oleh seluruh makhluk-Nya, dengan harapan semoga YAB Dato’ Sri
diberikan petunjuk untuk memimpin tanah air ini menuju keredhaan Allah
S.W.T.
Berdasarkan kesedaran prinsip Rule of Law sebagai garis
sempadan kepemimpinan, serta kesedaran yang menguruskan rezeki yang
Allah anugerahkan berdasarkan yang hak , di sini saya ingin memanjangkan
dua (2) cadangan kepada YAB Dato’ Sri mengenai PETROLEUM NEGARA.
Pertama : Menghidupkan semula Majlis Penasihat Petroleum Negara
1.
Majlis Penasihat Petroleum Negara adalah dikehendaki oleh Akta Kemajuan
Petroleum 1974 tetapi buat masa ini ianya tidak wujud dan kerana itu ia
di ketengahkan semula untuk perhatian YAB Dato’ Sri.
Akta ini diasaskan oleh Almarhum Ayahanda YAB Dato ‘ Sri sendiri pada tahun 1974.
Seksyen 5 Akta ini dengan jelasnya menghendaki Perdana Menteri membentuk sebuah MAJLIS PENASIHAT PETROLEUM. Saya perturunkan kandungan akta berkenaan untuk rujukan YAB Dato’ Sri , seperti berikut;
Majlis Penasihat Petroleum Negara
5. (1) Suatu Majlis yang dinamakan Majlis Penasihat Petroleum Negara hendaklah ditubuhkan yang terdiri daripada orang termasuk mereka dari Negeri yang berkaitan yang dilantik oleh Perdana Menteri.
(2) Menjadi kewajipan Majlis Penasihat Petroleum Negara untuk menasihati Perdana Menteri tentang dasar negara, kepentingan dan perkara yang berkenaan dengan petroleum, perusahaan petroleum, sumber tenaga dan penggunaannya.
Perhatikan dua hal di atas ;
a. Adanya penglibatan negeri pengeluar dalam Majlis,
b. Untuk menasihati Perdana Menteri mengenai dengan petroleum , perusahaan petroleum, sumber tenaga dan penggunaannya.
Kedua-dua
hal ini masih relevan dan dengan itu kehendak dan semangat Akta ini
bagi penubuhan majlis tersebut adalah masih valid dan relevan.
2. Majlis ini pada pendapat saya adalah sangat penting ;
Petroleum telah muncul menjadi hasil paling
utama negara kita. Kebergantungan ekonomi negara terhadap sektor ini
sangat penting dan besar.
Petronas sendiri telah muncul menjadi
gergasi korporat yang sangat besar dan dengan itu kedudukannya menjadi
lebih penting kepada kedudukan negara secara keseluruhan baik dari
sudut kewangan, ekonomi mahupun sebagai katalis perubahan sosial yang
saksama bagi seluruh negara.
Pada hari ini, Petronas khususnya
dan industri petroleum negara amnya bergantung kepada nasihat seorang
individu iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir di mana jawatan
penasihat perseorangan tidak wujud dalam akta ini.
Saya yakin
Almarhum Ayahanda YAB Dato’ Sri dan tokoh pengasas Akta ini, termasuk
YBM Tengku Razaleigh Hamzah mempunyai pandangan bijaksana bila mereka
meletakkan keperluan penubuhan majlis penasihat tersebut dalam Akta ini.
Bagi pihak YAB Dato’ Sri pula, apakah masalah besar sehingga kehendak undang-undang ini belum dipatuhi ?
3.
Majlis ini jika ditubuhkan, juga boleh dianggotai oleh wakil
negeri-negeri pengeluar petroleum, dengan itu isu kepentingan negeri
turut dapat dibincangkan. Selain itu, pengendalian dan pengagihan wang
royalti di peringkat negara dan negeri dapat dilakukan secara lebih
berkesan demi menuju sasaran yang utama (priority) bagi memberikan
kesan maksima kepada kemakmuran rakyat.
Isu tiadanya sambungan paip gas PGU bagi Kelantan umpamanya, boleh dibincangkan.
Isu
bagaimana pendapatan royalti Sarawak dapat digunakan dengan lebih
berkesan untuk mengatasi masalah kemiskinan Sarawak yang masih
berterusan , kekurangan infrastruktur dan kemudahan awam yang berlarutan
dan pemuliharaan khazanah hutan Sarawak untuk kehidupan yang tidak
terancam dan lain-lain saya yakin dapat diselaraskan.
Kedua : Meningkatkan royalti 5% peratus kepada 20% untuk Sabah dan Sarawak.
1.
Bersekali dengan cadangan ini, saya ingin cadangkan juga suara rakyat
Sarawak yang mahukan jumlah royalti bagi negeri pengeluar minyak seperti
Sabah dan Sarawak ditingkatkan dari 5% sekarang kepada 20 %. Ia boleh
mempercepat lonjakan kemajuan bagi kedua negeri yang telah terkebelakang
sekian lama.
Amalan pemberian royalti yang lebih besar bagi negeri pengeluar telah pun diamalkan di Indonesia dan negara lain.
2.
Ia selari dengan perkembangan semasa dan kedudukan Petronas yang telah
pun menikmati kedudukan yang kuat dari sumber di negeri-negeri di mana
Petronas membina tuahnya dan sampai masanya anak negeri diberi peluang
menikmati kemakmuran itu secara lebih berkesan.
Saya panjangkan
cadangan-cadangan ini untuk kebaikan Malaysia jua, seperti mana telah
termaktub dalam Akta yang telah juga diluluskan oleh kerajaan BN
sendiri. Tiada kemunasabahan untuk ia diabaikan dan dicuaikan.
Kecuali
saya masih boleh percaya YAB Dato’ Sri tidak mempunyai agenda
tersembunyi seumpama untuk lebih bebas campurtangan dalam urusan
Petronas , kerana itu tentunya tidak baik bagi negara kita.
Sekian, terima kasih
“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM : KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN”
DATO’ HJ HUSAM BIN MUSA