Monday, May 28, 2012
Sudah 6 Tahun Bersatu Jasad dan Roh
Sunday, May 27, 2012
Wednesday, May 16, 2012
“Anak Apak” Jatuh ke Riba
"Memoir ini diberi judul Anak Apak justeru Apak mahu mendidik dan menyekolahkan saya sepertinya dan kemudian keluar sebagai ahli ilmu agama mengikut jejaknya menjadi Tok Guru kepada masyarakat dan ummah. Tetapi saya tidak menjadi Tok Guru seperti Apak. Ada sebabnya; kejatuhan ekonomi, sawah tidak menjadi, getah yang menjadi sumber kemakmuran rakyat tiba-tiba tidak berharga lantaran Perang Korea yang berlaku pada awal tahun 50-an."
"Apak tidak menjadi aktivis politik dan tidak berminat dalam dunia persuratkhabaran tetapi saya menjadi wartawan dan aktivis politik sepenuh masa."
"Saya terdedah dengan alam politik sejak zaman kanak-kanak dan boleh memahami politik sejak remaja, tetapi tidak pernah bercadang untuk menjadi orang politik. Pada saya ketika itu, adalah lebih senang hidup sebagai orang yang memahami politik tetapi tidak terlibat dalam sebarang aktiviti politik supaya kita disenangi oleh semua dan dapat diterima oleh semua. Akan tetapi kekalahan teruk PAS di Kelantan pada hujung tahun 70-an sesudah berkuasa sejak tahun 1959 menyebabkan saya terasa seolah-olah demok rasi seperti akan berakhir di Malaysia."
"Semoga Memoir Anak Apak ini dapat memenuhi maksud sebuah penulisan buku berbentuk memoir dan dapat memberikan perkhidmatan dalam bidang penulisan memoir dalam persuratan Melayu untuk tatapan masyarakat. Tiada apa-apa yang dapat saya tinggalkan kepada masyarakat melainkan Memoir ini."
Projek Pecah Tanah Lebuhraya Kelantan 28 Mei ini
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, projek sepanjang 33 kilometer tersebut dikendalikan Menta Contruction Sdn Bhd dan Konsortium Temokin Vila Jelas JV Sdn Bhd.
Katanya, projek berkenaan akan dimulakan di seksyen III dari Bukit Tiu, Machang sehingga ke Dusun Damar, Kuala Krai merupakan tanah milik kerajaan negeri.
“Projek itu dimulakan di seksyen III sebagai langkah untuk menjimatkan masa kerana ia tidak perlu melakukan pengambilan balik tanah rakyat.
“Manakala jajaran bertingkat dari Wakaf Che Yeh ke Kota Bharu ditangguhkan sementara bagi menjimatkan kos,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.
Selain itu katanya, kos pembinaan dapat dikurangkan dengan memperkenalkan pendekatan gotong royong, di mana orang ramai yang berminat boleh menderma iaitu batu kuari, pasir dan sebagainya.
Kata Husam konsep gotong royong diperkenalkan bukan bererti kerajaan negeri tidak berkemampuan, sebaliknya bagi menanam semangat kerjasama di kalangan rakyat.
“Syarikat yang terbabit dengan aktiviti kuari di sepanjang lebuh raya akan juga memperolehi manfaat,” ujarnya.
Beliau berkata, sebelum ini orang ramai hanya terdedah menderma untuk pembinaan masjid dan madrasah sahaja, manakala derma bagi pembinaan jalan raya masih agak asing. Beliau juga berharap syarikat yang terbabit dengan industri minyak di Kelantan juga dialu-alukan untuk menyumbang. Katanya, projek lebuh raya berkenaan dijangka siap dalam tempoh lebih dua tahun selepas mengambil kira musim tengkujuh.
“Kerajaan negeri berhasrat menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hadir pada majlis pecah tanah kerana beliau pernah menyenaraikan projek pembinaan lebuh raya itu dalam RMK-9,” ujarnya.
Husam juga memberitahu lebuh raya tersebut akan mempunyai laluan khas untuk binatang liar di sepanjang laluannya.
“Kerajaan negeri mengutamakan konsep mesra alam dan mengambil kira keperluan makhluk lain,” tambahnya.
Katanya juga apabila ia siap sepenuhnya, Kelantan menjadi negeri pertama membina sendiri lebuh raya sendiri dengan kos yang lebih menjimatkan.
SUMBER: HARAKAHDAILY
Tuesday, May 15, 2012
Ku Li Mohon Bina Lebuhraya Gua Musang - Kota Bharu
Sunday, February 26, 2012
Gajah Tayang Body di Limau Kasturi
Menurut salah seorang penduduk tempatan yang ditemui, gajah-gajah yang ditempatkan sejak 19 Februari lalu itu dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang. Gajah-gajah tersebut dibawa untuk dijadikan denak bagi mengakap gajah-gajah liar yang berada di kawasan hutan berhampiran. Gajah-gajah liar sering menjadi ancaman kepada penduduk yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman untuk sara hidup di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan yang ditubuhkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada tahun 1989 itu adalah merupakan ibu pejabat Pasukan Pemindahan Semula Gajah yang telah wujud sejak tahun 1974. Unit Gajah adalah antara unit yang ditubuhkan oleh pusat ini dan berperanan untuk menempatkan semula gajah-gajah liar yang menjadi mangsa kepada penerokaan tanah hutan untuk kegiatan pertanian. Gajah-gajah liar akan ditempatkan di kawasan perlindungan seperti Taman Negara. Sejak 30 tahun lalu, unit ini telah berjaya memindahkan lebih daripada 450 ekor gajah liar..
Kemunculan gajah-gajah tersebut di Limau Kasturi telah menarik kunjungan orang ramai yang tidak putus-putus untuk menyaksikan haiwan gergasi itu dari dekat. Bagaimanapun kawasan tersebut hanya menjadi tempat persinggahan bagi kedua-dua gajah berkenaan sebelum dibawa pulang ke Kuala Gandah. Saya sempat merakamkan beberapa keping gambar ketika berada di situ.
kepada gajah-gajah berkenaan.
peluang keemasan menyaksikan gajah dari dekat.
Thursday, February 16, 2012
Billboard dan Bunting di Negeriku
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “ Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya”
Sabda Rasulullulah SAW kepada Abu Dzar ketika meminta dilantik menjadi pegawai Rasulullulah SAW. Lalu Rasulullulah SAW menepuk bahunya dan bersabda, “Hai Abu Dzar, kamu seorang yang lemah sedangkan jawatan itu adalah satu amanah (tanggungjawab) yang kelak di hari kiamat menjadi hina dan menyesal kecuali orang yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipannya”.
Menyedari tugas mentadbir sesebuah kerajaan adalah amanah dan setiap amanah akan dipersoalkan sedalam-dalamnya di akhirat kelak. Menifestasi daripada kesedaran dan kepatuhan itu terzahir dalam banyak aspek pentadbiran di negeri yang saya cintai ini. Antaranya adalah apa yang terpapar pada papan iklan (billboard) dan banting (bunting). Inilah keunikan negeri yang satu ini.
dengan betul dipasang di salah satu simpang empat
di pusat bandar Tanah Merah.
barangan di hadapan pasaraya Econjaya, bandar Gua Musang.
Vanidah Imran bertudung untuk iklan minyak masakyang terpacak di hadapan pintu masuk ke Tanah Rancangan
FELDA Ciku, Gua Musang.
DJ Muhamad dan Radio Bagai Irama dan Lagu
Beliau yang berasal dari Pontian, Johor mengahwini Aida binti Adil dan dikurniakan 4 cahaya mata. Saya mengenali Mohamad sejak mula bertugas di RTM. Walaupun saya di RMKL dan beliau di Radio Muzik, tetapi kami sering bertegur sapa dan bertanya khabar antara satu sama lain. Saya sempat bertugas bersama-sama Mohamad di bawah satu stesen iaitu stesen RiMA 93.9/ Klasik FM apabila pada tahun 2005 Muhamad dibawa menyertai stesen ini.Muhamad bukan sahaja berpengalaman dalam bidang penyiaran, malah turut menghasilkan lirik lagu. Sejak ditukarkan ke Unit Sukan RTM dan ke Filem Negara, Mohamad mengorak langkah setapak lagi dalam dunia penyiaran dengan mengendalikan siaran radio online, Best FM. Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang penyiaran radio, Mohamad sanggup mengorbankan tenaga dan wang ringgit untuk mengendalikan siaran Best FM yang boleh diikuti melalui http://best.ada.fm/. Muhamad dan radio bagaikan tidak boleh dipisahkan lagi. Ikuti temubual saya (SR) dengan Mohamad (MHH) mengenai pengalamannya dalam dunia penyiaran dan penerokaan barunya:
SR : Boleh ceritakan pengalaman dalam bidang penyiaran?
MHH : Boleh. Kalau nak ikut pengalaman saya bermula dalam bidang teknikal. Sebabnya saya melibatkan diri dalam pembuatan pemancar FM untuk membuat siaran sendiri atas rasa minat dalam bidang penyiaran. Cerita ni bermula sekitar tahun 1993 lagi. Lama jugak la saya dapat mengendalikan siaran sendiri ni hingga la saya terpaksa hentikan kerana mendapat tawaran bertugas di Mega TV (salah sebuah televisyen berbayar terawal) pada tahun 1997 dan bertugas sebagai juruteknik. Oleh kerana bidang pelajaran yang di ambil pun berkaitan teknikal, maka saya teruskan. Pada tahun 1998 pula saya di tawarkan bertugas di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (dahulunya Kementerian Penerangan) dan kebetulan pula berkaitan dengan bidang yang saya minati, maka saya pun ambil dengan yakinnya. Banyak lagi kenangan lain pahit dan manis tapi kalau nak cerita rasanya tak habis sampai ke sudah nanti.
SR : Selepas dipindahkan bertugas ke Jabatan Filem Negara, saudara telah
menubuhkan siaran radio internet sendiri iaitu Best FM. Boleh gambarkan secara
ringkas tentang siaran Best FM?
MHH : Format siaran santai, sedikit maklumat tapi lebih kepada hiburan muzik. Saya tak
mau meletakkan topik dan sebagainya kerana sebagai pendengar pastinya mereka
mahukan lebih pada hiburan.
SR : Apakah keperluan asas yang perlu disediakan untuk mengendalikan radio
internet?
MHH : Untuk menubuh dan mengendalikan radio internet ni perkara penting yang perlu
adaialah Server dan Komputer yang mampu bertahan untuk operasi 24 jam. Yang lain lain tu
bergantung pula pada bajet. Kalau bajet anda tinggi boleh create konti/ studio, studio
rakaman, digital mixer, professional software untuk broadcasting dan sebagainya. Pokok
pangkalnya ada lebih bajet kita boleh buat apa saja.
SR : Apakah yang mendorong saudara menubuhkan Best FM?
MHH : Sebab minat lebih dalam bidang penyiaran radio, saya menubuhkan radio online saya sendiri di beri nama Best FM. Nak di operasikan dalam gelombang fm agak besar modalnya. Jadi saya kendalikan secara online melalui internet sahaja. Lagi pun radio online internet ni dah jadi macam trend masa kini nampaknya..
SR : Setakat ini, bagaimanakah sambutan pendengar?
MHH : Alhamdulillah, sambutan baik. Cuma promosi perlu di tingkatkan lagi.
SR : Siapakah yang turut memberikan galakan untuk saudara menubuhkan siaran Best FM?
MHH : Rakan rakan khususnya dalam bidang penyiaran dan peminat. Mereka la yang banyak memberi galakan dan sokongan dalam menubuhkan Best FM.
SR : Mewujudkan siaran radio bukanlah kerja mudah. Banyak perkara perlu dipertimbangkan termasuklah soal kewangan. Bagaimana saudara dapat mengatasi masalah ini?
MHH : Memang tak dinafikan faktor utama yang menjadi cabaran dan dugaan ialah soal kewangan. Jadi saya terpaksa mulakan dari yang penting dulu. Kebetulan peralatan studio/ konti seperti mixer, mikrofon, komputer dan perabut memang saya ada kerana peralatan ini saya gunakan dulu untuk radio sendiri selain saya gunakan untuk majlis kendiri kahwin.
SR : Saudara adalah kakitangan kerajaan yang masih berkhidmat. Bagaimanakah saudara membahagikan masa antara kerja hakiki dengan tugas mengendalikan siaran Best FM?
MHH : Sebagai kakitangan awam, saya perlu mengutamakan tugas utama dulu. Bila dah agak free masa baru la saya mengendalikan Best FM. Macam mana pun kita kena pandai la membahagikan masa supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari.
SR : Setakat ini, hanya saudara yang menjadi petugas tetap di Best FM. Bagaimana saudara mengatasi masalah kekurangan petugas bagi memenuhi tuntutan siaran 24 jam?
MHH : Dalam hal ni saya lebih suka mengendalikan secara single. Dengan cara ni saya tak terikat komitmen dengan orang lain. Walau bagaimana pun saya tetap memberi peluang pada sesiapa yang ingin mencuba bakat sebagai juruhebah/ deejay.
SR : Cabaran besar yang dihadapi untuk mengendalikan siaran Best FM?
MHH : Cabaran utama seperti yang saya katakan tadi modal. Selain tu cabaran lain nak memperkenalkan Best FM pada khalayak. Maklum la, bende baru pasti ramai yang tak tahu wujudnya radio ni. Juga cabaran lain ialah kerjasama dengan media cetak yang masih memandang sinis kewujudan radio online internet ni.
SR : Apakah perancangan kewangan untuk bangunkan Best FM?
MHH : Buat permulaan ni modal kewangan saya dari duit sendiri. Akan datang baru saya fikirkan untuk memasuki bidang komersial. Saya nak memperkenal dan mempromosikan dulu Best FM. Bila orang dah kenal dan tau baru senang nak tarik pengiklan.
SR : Bolehkah saudara terangkan aspek-aspek yang diambil kira bagi memastikan kelancaran siaran Best FM?
MHH : Saya perlu memastikan Server perlu dalam keadaan baik dan beroperasi selain mudah di akses pendengar.
SR : Apakah keistimewaan Best FM?
MHH : Best FM ada kelainan. Antaranya format lagu yang luas, tidak hanya tertumpu pada tahun tertentu sahaja. Selain tu rancangan seperti muzik tanpa henti antara rancangan yang terus menyiarkan lagu terus kepada pendengar tanpa henti.
SR : Saudara telah lama menjadi penyiar. Tentu mempunyai banyak pengalaman manis untuk diceritakan.
MHH : (Ketawa) Kenangan tu memang banyak, cuma antara yang saya ingat sampai sekarang dapat bertugas di Muzik FM (dulunya Radio Muzik) bersama barisan penyampai senior. Kenangan pahit tu banyak tapi antaranya elektrik terputus semasa sedang bertugas di konti pada malam hari
SR : Perkembangan terbaharu, saudara telah diarahkan bertukar ke Radio Malaysia Langkawi FM. Di Langkawi FM saudara berkhidmat sebagai deejay semula. Adakah keadaan ini menimbulkan masalah kepada saudara untuk mengendalikan siaran Best FM?
MHH : Peringkat awal memang ada sedikit masalah dari segi nak menyelaraskan tugas. Tapi hal tu dapat di atasi sedikit demi sedikit.
SR : Bagaimanakah masa depan Best FM?
MHH : Best FM akan tetap bersiaran walau di mana saya berada. Juga selagi minat masih membara.
SR : Apakah harapan saudara kepada pendengar-pendengar Best FM?
MHH : Harapan saya supaya pendengar akan tetap mendengar dan memberi sokongan. Bukan mudah nak mengekalkan pendengar radio internet ni sebab dia tidak bersiaran dalam FM. Hanya bergantung pada medium internet semata mata.
Monday, January 9, 2012
Qari Kecil Idola Anak-Anak
Dalam kesejukan malam yang sunyi ini, terkenang pula Imam Ghazali yang pernah berkata, “ perlulah dimulakan ilmu Al-Quran iaitu ilmu naqli (rohani) yang akan membentuk diri seseorang menjadi hamba Allah yang baik. Kemudian barulah ilmu naqli (ilmu bersumberkan akal seperti sains, matematik, bahasa dan lain-lain) untuk seseorang menjadi khalifah Allah yang boleh memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara. Peringatan Imam Ghazali ini menunjukkan betapa pentingnya setiap umat Islam mengajar anak-anak mereka Al-Quran.
Al-Quran yang dikirimkan oleh Allah melalui Nabi Muhammad SAW adalah harta yang tidak ternilai harganya bagi sekalian manusia. Kitab yang mengandungi 114 surah, 6236 ayat ini membekalkan garis panduan hidup di dunia, balasan di akhirat, kisah para nabi dan orang-orang soleh, hukum-hakam, undang-undang, suruhan, tegahan dan pelbagai persoalan yang wajib di selami oleh setiap insan.
Dalam keghairahan ibu bapa di zaman moden ini yang berlumba-lumba ingin menjadikan anak-anak mereka sebagai penyanyi, pelakon atau pelawak, tentu saja tidak ramai yang mempunyai kesedaran bahawa pengajaran Al-Quran hendaklah menjadi keutamaan. Hanya mereka yang mempunyai pandangan yang jelas tentang hakikat hidup di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal abadi sahaja mampu menongkah arus dan tidak terlalu terikut rentak sebilangan besar manusia yang cintakan dunia dan bencikan mati.
Kata Ibnu Khaldun, “anak-anak mempelajari dengan cara mengikuti dan mencontohi lebih daripada yang diambil dengan cara nasihat dan tunjuk ajar.”
Menjadikan para qari sebagai idola, contoh dan ikutan adalah antara cara terbaik untuk menanam perasaan ingin belajar dan cintakan Al-Quran dalam diri anak-anak. Buat anak-anak saya, saya perkenalkan beberapa orang qari kanak-kanak yang lahir di tanah air kita untuk menjadi ikutan, contoh teladan dan idola mereka. Di samping nama-nama mereka sering saya sebut, suara mereka mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran juga sering dimainkan di dalam kenderaan atau dalam telefon bimbit. Malah, selain daripada nasyid, bacaan mereka juga sering dimainkan untuk mendodoikan anak kecil saya agar tidur dengan nyenyak di dalam buaian. Qari-qari kecil yang dimaksudkan ialah seperti adik Muhammad bin Ahmad Zahid, adik Amir Rafi bin Nordin, adik Muhammad Thaqif bin Haji Fajuri dan adik Ahmad Najib bin Dato’ Mohd. Nasaruddin.
1. Muhammad bin Ahmad Zahid
Anak kepada pasangan Ahmad Zahid Zainal Abidin dan Siti Khadijah Fadzil telah dikenali ramai sejak kecil lagi kerana kebolehannya membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan baik. Ahmad berkebolehan membawa bacaan 10 orang imam dan qari seperti Imam Sudais, Imam Syuraim, Said Al-Ghamidi, Dr. Muhd Ayyub, Khalil Husory, Al-Matrudi, Abd. Rahman Huzaifi, Mi’syar Al-Fasi dan lain-lain. Ahmad merupakan anak sulung daripada 5 orang adik-beradik. Anak kepada pasangan Penasihat Undang-Undang dan doktor gigi ini kini berusia 17 tahun dan sedang menuntut di Tingkatan 5 dalam aliran Sains Tulen. Pernah menjadi peserta termuda Program Akademik Al-Quran TV9 Musim ke-4 dan berjaya mendapat tempat kedua. Ahmad juga pernah menjadi Johan Perujian Tahfiz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2007 bagi kategori 1-15 juzuk. Penampilannya sebagai peserta rancangan ‘Mari Bertaranum’ dan muazzin di TV9 sering mencuri perhatian penonton.
Amir Rafi, qari kecil yang berasal dari Johor juga pernah menjadi Johan Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Malaysia. Saya pada mulanya menyimpan bacaan beliau dalam bentuk kaset. Kemudian saya pindahkan ke komputer peribadi dan convert menjadi format mp3. Kemudian saya pindahkan pula ke CD dan telefon bimbit untuk lebih mudah didengar.

3. Muhammad Thaqif bin Haji Fajuri
4. Ahmad Najib bin Dato’ Mohd. Nasaruddin.
Ahmad Najib, 13 tahun, ialah anak kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang juga ADUN Meranti, Dato’ Mohd. Nasaruddin Daud. Ahmad Najib sering memperdengarkan bacaannya dalam banyak majlis yang berlangsung di Kelantan. Pernah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di hadapan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Mu’tah, Jordan, Dr. Abdullah Fawwaz. Kebolehannya membaca Al-Quran dengan dengan baik menjadikan dia sering merangkul kejuaraan dalam Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) peringkat negeri dan kebangsaan. Kesempatan bertemu Ahmad Najib dalam satu majlis di Padang Perdana, Kota Bharu pada suatu malam tidak saya sia-siakan untuk merakam gambarnya (gambar di atas).
Sunday, January 1, 2012
Adam Adli Itu Murid Saya
Tiba-tiba saja nama Adam Adli Abdul Halim, pelajar tahun 3 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermain dari bibir ke bibir seluruh rakyat Malaysia. Ada yang menjulangnya sebagai pejuang mahasiswa yang berani memperjuangkan hak kebebasan bersuara lalu tampil membelanya dan ada pula yang menganggapnya anak muda hingusan yang kurang ajar dan masih mentah lalu keluar berdemonstrasi, mengamuk dan menjerit-jerit membantah tindakan Adam di hadapan pintu masuk UPSI. Ada yang sanggup mengekori Adam dan cuba menumbuknya tetapi tidak berjaya kerana dihalang oleh orang ramai. Ada juga kumpulan yang mendakwa mereka panglima perang melayu yang akan meludah muka Adam Adli.Tidak cukup dengan kecaman di media, pemuda berusia 22 tahun itu turut menerima ancaman bunuh dan pelbagai ugutan melalui panggilan telefon, SMS, facebook, blog dan twitter. Semuanya kerana peristiwa demonstrasi 17 Disember 2011. Dalam demonstrasi menentang Akta Universiti dan Kolej (AUKU) yang disifatkan sebagai menyekat kebebasan bersuara pelajar itu, Adam Adli telah bertindak menurunkan gambar Perdana Menteri di hadapan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan menggantikan dengan bendera kebebasan pelajar selepas menyerahkan memorandum menuntut AUKU dimansuhkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Tindakan itu dianggap ‘kurang ajar’ kerana dikatakan menceroboh dan mengganggu premis pihak lain. Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) itu bagaimana pun mempertahankan tindakannya dan mendakwa dia tidak pernah memijak gambar Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh media, tetapi hanya menurunkan seketika sahaja sebelum dinaikkan semula. Katanya tindakan itu diambil setelah beberapa memorandum telah dihantar kepada kerajaaan tetapi tidak mendapat perhatian.

Sejak berita mengenai Adam bermain di media, saya terasa seperti nama dan wajahnya seperti pernah dikenali. Sehinggalah pada suatu malam, seorang teman guru di Sek. Keb. Brickfields (1), Kuala Lumpur mengingatkan saya kepada seorang murid yang telah meninggalkan bangku sekolah rendah kira-kira 11 tahun lalu. Barulah saya teringat semula kepada seorang murid yang pernah mendapat pendidikan di Sek. Keb. Brickfields (1). Nama dan wajah zaman kanak-kanak Adam yang memakai uniform pengawas sekolah berwarna hijau masih jelas terbayang di ingatan saya. Terasa seperti baru semalam dia meninggalkan sekolah yang terletak di Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields itu. Anak sulung kepada seorang kakitangan Kereta Api Tanah Melayu (KTM) itu meninggalkan Sek. Keb. Brickfields 1 sebaik sahaja tamat darjah 6 pada tahun 2001.
Saya masih ingat ketika itu Adam menjawat jawatan Ketua Pengawas. Sementara ayahnya, En. Abdul Halim merupakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Saya pula ketika itu memegang jawatan Setiausaha PIBG dan Pengerusi Kelab Guru. Adam tentu saja ketika itu menjadi orang perantaraan untuk saya mengirimkan surat jemputan mesyuarat kepada ayahnya.
Kini, semua itu telah jauh berlalu. Masa yang mengalir laju telah membawa kita dari satu daerah ke satu daerah lain yang belum pernah dijejaki dan didiami. Begitulah yang dilalui Adam Adli. Adam kini bukan lagi anak kecil yang masih menuntut di sekolah rendah. Adam kini telah bergelar mahasiswa di universiti dan bakal menjadi guru sebaik sahaja menamatkan pengajian nanti. Adam kini bukan lagi anak kecil yang hanya pandai bermain mancis api tetapi Adam kini adalah anak muda yang dilihat berani menggenggam bara api.
Apa yang sering menggaru fikiran saya pada ketika ini? Tentu saja terfikir tentang nasib yang bakal di terima anak muda bernama Adam Adli itu dan bagaimanakah masa depannya di UPSI. Sebagai guru, saya tidak sampai hati untuk melihat anak murid yang pernah dididik melalui masa depan yang sukar. Semoga Adam bersedia menghadapi sebarang kemungkinan atas tindakan beraninya itu dan tabah menghadapi ujian getir ini. Berhati-hatilah belayar dalam ribut dan gelombang yang kencang dan kejam.











