Pages

Tuesday, November 1, 2011

Di Sini Ada Menjual Susu Ibu

Saya agak terperanjat sebaik saja membuka sebuah peti sejuk yang menyimpan begitu banyak susu ibu kepunyaan kawan saya ketika menginap selama 3 hari di rumahnya yang terletak di Taman Tun Perak, Rawang minggu lalu. Stok susu ibunya bagaikan stok susu di kedai. Secara berseloroh saya katakan padanya, letakkan papan iklan yang berbunyi, "Di Sini Ada Menjual Susu Ibu"di pintu pagar rumah. Susu yang diperah menggunakan pam berkuasa lektrik itu terhasil dengan memakan sejenis pil bagi menggalakkan penghasilannya.

Selain dapat menjimatkan wang untuk membeli susu dari kedai, anak-anaknya dapat menikmati susu ibu yang kaya dengan pelbagai khasiat yang tersendiri. Susu ibu yang diperah itu disimpan untuk diberikan kepada bayinya sepanjang dia pergi bekerja.

Stok susu ibu dalam simpanan kawan saya.

Susu ibu yang diperah perlu disimpan dengan kaedah yang betul agar kandungan nutriennya terpelihara dan tidak musnah. Selain mengandungi sel hidup, susu ibu turut mempunyai bahan anti-bakteria yang membolehkannya kekal segar dan tahan lebih lama. Susu ibu boleh bertahan antara 3 hingga 6 bulan jika disimpan di bahagian beku dengan suhu -18 hingga -20 darjah celcius.

Tuesday, October 18, 2011

Ikan Patin Masak Tempoyak

Melihatkan badannya yang licin, berkilat dan berbau hanyir, ikan patin atau nama saintifiknya Pangasius Sutchi yang dianggap lazat bagi kebanyakan orang tidak pula mampu memikat dan membuka selera bagi sebahagian yang lain. Namun hidangan ikan patin tetap istimewa bagi penggemarnya dan sanggup membayar walaupun dengan harga yang tinggi asalkan dapat menikmati keenakan daging lembutnya.

Harga patin sungai pernah mencecah RM 180.00 sekilogram. Manakala patin sangkar pula RM 14 sekilogram. Bukan cerita dongeng, jika anda mendengar sekumpulan pelanggan terpaksa membayar dengan harga RM 13,000.00 untuk hidangan seramai 50 orang ketika makan tengah hari di salah sebuah restoran ikan patin di Temerloh, Pahang beberapa tahun lalu.

Terdapat beberapa jenis ikan patin seperti patin muncung, patin buah, patin juara, patin sungai dan patin kolam. Ikan patin sungai berwarna kelabu manakala patin sangkar pula berwarna cerah dan putih di bahagian sisik atas. Bahagian bawahnya pula berwarna kemerahan serta mengandungi banyak lemak. Saiz ikan yang mempunyai dua sengat di kiri kanan dan satu di belakang badan ini boleh mencecah 1 meter panjang dan beratnya boleh menjangkau 20kg. Ikan patin gemar memakan anak-anak ikan, cacing, serangga, buah-buahan sungai, siput, udang dan bangkai binatang.

Saya pula kali pertama merasai kemanisan daging ikan patin adalah kira-kira sepuluh tahun lalu dengan seorang kawan yang sama-sama bekerja di RTM. Ketika pulang ke kampungnya di Temerloh, Pahang dia membawa bekalan ikan patin masak tempoyak dan pucuk paku goreng yang dimasak emaknya untuk saya. Kami makan bersama-sama di sebuah restoran mamak di Bangsar ketika senja mula berlabuh. Ketika itulah saya mula jatuh cinta pada keenakan ikan patin masak tempoyak yang diadun rasa daun kesum, bunga kantan, kunyit, lengkuas, cili kering dan asam keping. Sebelum itu tidak ada pun sebarang keinginan untuk saya mencuba masakan popular itu.

Jika pulang ke rumah mentua di Sungai Sam, selalulah saya dapat makan ikan patin segar masak tempoyak. Emak mentua saya sanggup memasak apa saja kegemaran anak-anak dan menantunya. Beritahu apa saja yang diidamkan tekak, dia akan segera memasaknya. Berbeza dengan emak saya yang sudah tidak mampu berlama-lama di dapur kerana keuzuran dan gangguan kesihatan yang serius.

Daun kesum membangkitkan aroma dalam masakan ini.

Tempoyak antara bahan utama untuk memasak ikan patin
masak tempoyak

Agak mudah untuk mendapatkan ikan patin segar yang masih hidup dan menggelupur dalam talam penjual dipasar Laloh. Pasar Laloh yang beroperasi pada hari Jumaat terletak kira-kira 20 km dari rumah mentua saya. Jika tidak pulang ke Kota Bharu pada hari Jumaat saya akan ke pasar Laloh untuk membeli pelbagai jenis barang keperluan termasuk lauk pauk seperti daging lembu segar, ayam, pelbagai jenis ikan laut dan ikan air tawar di samping sayur-sayuran.

Ikan patin segar yang dijual di pasar Laloh, Kuala Krai.

Di pasar Laloh, bukan hanya ikan patin segar yang dijual malah terdapat juga ikan air tawar yang lain seperti ikan tilapia, lampam, puyu, haruan dan keli. Sebagaimana ikan patin, ikan tilapia dibawa terus dari kolam atau sangkar dan dijual sendiri oleh penternak. Harganya lebih murah jika hendak dibandingkan di tempat lain. Selain dijual secara segar, ikan lampam, puyu, haruan dan keli yang telah diperap dengan garam dan kunyit juga turut dijual.

Isteri saya yang juga penggemar ikan patin masak
tempoyak tidak kurang handalnya memasak resepi
tradisi ini.

Friday, October 14, 2011

Sultan Kedah Yang di-Pertuan Agong ke-14

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14, berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun melalui Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja. Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama.

Monday, October 10, 2011

ARTIS VS HUDUD

Agaknya apakah jawapan mereka di dalam tanah sesudah bergelar mayat kala berdepan Munkar dan Nakir yang akan bertanya, "siapa Tuhan kamu? Apa agama kamu? Siapa nabi kamu?"

(Doble click pada imej untuk kelihatan lebih besar dan jelas)



Mungkin Enot gambarkan hudud
sebagaimana dalam cerita Semerah Padi


Monday, October 3, 2011

Koleksi Terkini Saya

Saat menatap buku-buku pada malam dingin yang tiada bunyi selain bunyi cengkerik, ketika anak-anak yang menggamatkan rumah dengan pelbagai karenah sudah jauh dihanyutkan arus mimpi, terasa amat-amat bahagia sekali. Hilang segala penat menguruskan makan minum mereka, membersihkan mereka selepas membuang air, menukar dan memakaikan lampin, membancuh susu untuk membasahkan tekak mereka sebelum tidur dan menyiapkan tempat untuk mereka tidur. Jiwa dan minda saya seperti sedang diberi santapan yang lazat dan menyelerakan.

Minda akan kelaparan jika tidak diberikan makanan. Jiwa akan ketandusan jika tidak diberikan minuman. Demi tuntutan kelaparan dan kehausan itulah, pada setiap bulan saya akan membeli beberapa buah buku untuk dibaca. Membeli pelbagai jenis buku bukan sahaja untuk dibaca, malah untuk dijadikan koleksi yang boleh dimanfaatkan untuk anak-anak apabila mereka dewasa kelak. Buku-buku ini adalah koleksi terkini saya untuk dikongsi bersama-sama.



Aku, Isabella dan Tok Kenali adalah rakaman
pengalaman dan penghijrahan Bob Lokman.


Syair Kebijaksanaan @ Perbezaan dan
Mengejar Ufuk Memancar adalah buku
Kumpulan Sajak Terbaharu Penyair
Leo A.W.S.

Dalam buku ini disiarkan sajak saya untuk Leo A.W.S bersama-sama 22 orang penulis yang lain. Sajak 'Ke Halaman Sang Pemakan Puisi' ini terilham selepas mengunjungi Leo di rumahnya pada 14 Disember 2010 setelah agak lama tidak bersua muka.


Buku ini saya hadiahkan untuk isteri sempena hari ulang tahun kelahiran yang ke-30. Zainab Ghazali adalah antara serikandi Islam yang amat saya kagumi.


Buku sejarah politik negara adalah antara
pilihan hati saya

Buku ini ditulis oleh Dr. Shaharir Mohd Zain,
Profesor Matematik-Fizik yang juga pakar
dalam ilmu pengurusan dan kepimpinan.

Sunday, October 2, 2011

Tun akan mati?

Teringin benar mendengar biar pun sekali dari mulut seorang negarawan bergelar 'Tun' mengucapkan kata-kata, "saya sudah tua. Saya akan mati tak lama lagi dah. Saya akan bertemu Allah. Kita semua akan mati tidak lama lagi. Kita semua akan berhadapan dengan Allah juga."

Wednesday, September 28, 2011

Lagi Siri Mencairkan Aqidah

1. Mengatakan 'tidak sedap' kepada makanan yang dimakan bermakna, mengatakan tukang masak tidak pandai memasak.

2. Mengatakan 'bongok' pada hudud bermakna mengatakan 'ALLAH ITU BONGOK'.

3. Mengatakan hudud itu 'kuno' bermakna mengatakan 'AL-QURAN ITU KUNO'.

4. Mengatakan Al-Quran itu kuno bermakna mengatakan 'ALLAH ITU KUNO.'

Kepada yang terlibat tetapi masih mendakwa diri sebagai penganut Islam, belajarlah untuk ikhlas terhadap agama yang dianuti itu! Belajarlah untuk menghormati Allah!

Monday, September 26, 2011

Kartunis Utusan Bangkit dari Kubur dengan Kartun-Kartunnya

Jangan bimbang, kartunis Utusan Malaysia akan membawa kartun-kartun lukisannya ke lubang kubur yang gelap dan akan bangkit dari kuburnya pada hari kiamat, sambil memegang kartun-kartun lukisannya itu.


Sunday, September 25, 2011

Kelantan dan Tanggungjawab Hudud

KELANTAN DAN TANGGUNGJAWAB HUDUD
Oleh: Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Apabila sebut hudud di Malaysia, ramai yang akan mengingati hasrat Kelantan untuk melaksanakan undang-undang tersebut. Ada yang menyatakan hasrat tersebut sekadar mainan politik, padahal tuduhan itulah mainan politik. Saya bukan anak Kelantan, tidak juga aktivis parti di Kelantan. Saya orang luar Kelantan yang sering diberikan peluang oleh Kerajaan Kelantan untuk melihat pentadbiran dari dekat.

Saya yakin bahawa dalam isu hudud hasrat Kelantan bukan main-main. Ia adalah hasrat yang terbit dari perasaan tanggungjawab perintah muslim terhadap ayat-ayat Allah dalam al-Quran dan nas-nas Rasulullah s.a.w dalam sunnah baginda. Saya sendiri mendengar perkataan YAB Menteri Besar Kelantan ketika ditanya tentang hudud, beliau menjawab: “Jika Allah tanya saya di akhirat, saya akan beritahu Kerajaan Pusat menghalang saya melaksanakannya”.

Saya lihat wajahnya, saya rasai kejujuran dan kebimbangan beliau yang diamanahkan pemerintahan mengenai hukum Allah berkenaan. Apa tidaknya, Allah menegaskan dalam al-Quran: (maksudnya)

“Ini ialah satu “surah” yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat. Perempuan Yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” (Surah an-Nur: 1).

Dalam al-Quran ada disebutkan beberapa jenis hukuman terhadap jenayah-jenayah tertentu; jenayah curi (Surah al-Maidah: 38), jenayah hirabah (Surah al-Maidah: 33), jenayah zina (Surah an-Nur: 3), dan qazf (Surah an-Nur: 4). Dalam hadis pula disebutkan hukuman sebat bagi peminum arak, buang daerah bagi penzina dan rejam bagi penzina muhsan, juga bunuh bagi yang murtad. Hukuman ini secara umumnya dikategorikan sebagai hudud. Walaupun begitu, ada perbincangan dalam kalangan sarjana mengenai kedudukan hukuman murtad, buang daerah dan rejam; adakah itu hudud atau ta’zir (discretionary punishment). Jika ia hudud bererti ia tidak boleh dipinda atau ditukar ganti. Jika ia ta’zir bererti ia terdedah kepada perubahan dan penilaian semula pihak pemerintah. Saya akan bincangkan nanti dalam artikel yang lain.

Niat Buruk

Usaha menggambarkan negara Islam atau design negara yang mendaulat Islam sebagai negara hudud adalah gambaran yang tidak tepat. Pihak musuh berniat buruk. Hudud bukan asas kenegaraan dalam Islam. Hudud adalah hukum Islam yang menjadi makanisme dalam mencegah jenayah. Asas kenegaraan dalam Islam menegakkan keadilan dan maslahatan negara berasas prinsip-prinsip al-Quran dan as-Sunnah. Keadilan dan kemaslahatan rakyat itu luas maksudnya, dan luas juga cara mencapainya. Tugas kepimpinan negara melaksanakan yang makruf iaitu segala unsur kebaikan dan kemaslahatan untuk rakyat. Dalam masa yang sama mencegah yang mungkar iaitu segala unsur yang membawa kemudaratan dan kemerbahayaan kepada rakyat. Firman Allah: (maksudnya):

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41).

Penafsiran perkataan ‘makruf’ dan ‘munkar’ hendaklah diluaskan dalam konteks kehidupan muslim secara umum, dan kenegaraan secara khususnya. Maka dalam negara Islam; keadilan ditegakkan merentasi batasan keturunan, pangkat dan kaum. Tiada beza antara hukuman terhadap sultan atau raja dengan rakyat biasa. Tiada beza antara orang besar dan orang bawah. Kemakmuran negara juga dibahagi secara adil dalam kalangan rakyat. Tiada rasuah, tiada salah guna kuasa. Kepentingan setiap individu dalam negara dipelihara, kemaslahatan mereka dijaga. Kebajikan negara meliputi setiap lapisan rakyat.

Hukum Allah

Tiada seorang yang beriman pun yang akan berani membantah nas-nas qat’i (definitive texts) sama daripada al-Quran ataupun as-Sunnah. Mempersendakan teks al-Quran ataupun as-Sunnah seperti sendaan sesetengah pihak apabila Kelantan ingin melaksanakan hudud dengan menyatakan ‘sesiapa yang ingin makan sup tangan sila ke Kelantan’ adalah melampaui batasan agama. Bahkan, jika pengucap sedar dan bermaksud menghina nas al-Quran dan as-Sunnah, maka dia terkeluar dari Islam.

Nas-nas yang qat’i (definitive texts) itu, sekalipun diyakini tanpa syak daripada Allah, namun para sarjana Islam sering berbeza pendapat dalam menafsirkan maksudnya, atau berbeza pendapat dalam memperincikannya. Ini disebut sebagai dalil yang zanni (speculative meaning).

Umpamanya, dalam hukuman memotong tangan pencuri, tiada siapa yang syak tentang kewajiban melaksanakan nas ini. Namun, para sarjana berbeza pendapat dalam menentukan syarat yang melayakkan seseorang dijatuhkan hukuman tersebut. Demikian juga dibincang suasana yang membolehkan hukuman itu dilaksanakan. Ini kerana terdapat nas-nas yang lain yang boleh menafsirkan hukuman ini. Membahaskan, ataupun meletakkan syarat-syarat yang layak sebelum perlaksanaan sesuatu hukum hudud itu, bukanlah bererti menolak hukum itu, sebaliknya memastikan perlaksanaan itu memenuhi maksud sebenar dari titah perintah Allah dan rasulNya yang disebut sebagai Maqasid al-Syariah (The Higher Objectives of Islamic Law).

Ini kerana bukan tujuan Islam ingin memastikan tangan pencuri itu putus, tetapi yang hendak dicapai ialah maksud keadilan, pencegahan dan pemeliharaan harta masyarakat di sebalik hukuman tersebut. Kaedahnya ditetapkan iaitu potong tangan. Maka, pelaksana hukum tersebut hendaklah memastikan bahawa apabila hukuman tersebut dilaksanakan, maksudnya dapat dicapai. Jika dilaksanakan, sedangkan maksud itu tidak dicapai, ataupun berlaku sebaliknya, maka itu tidak menunai tanggungjawab nas. Sebaliknya, hanya menzahirkan ketidakadilan, atau kekejaman atas nama Islam.

Suasana Kondusif

Suasana kondusif ialah suasana di mana apabila hukuman hudud itu dilaksanakan akan mencapai matlamat hukum itu disyariatkan. Tertegak keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat. Suasana yang tidak kondusif ialah suasana di mana pelaksanaan hukuman tersebut membawa kepada natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan masyarakat Islam itu sendiri.

Nabi s.a.w bersabda:

“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan”. (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi. Hadis dinilai sahih oleh al-Albani).

Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:

“Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.

Dalam riwayat Abu Daud: “Jangan dipotong tangan ketika pemusafiran” (Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani).

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w mengarahkan agar hukuman tidak dilaksanakan dalam keadaan peperangan ataupun musafir kerana bimbang kesan yang negatif terhadap perlaksanaan itu disebabkan suasana yang tidak kondusif. Dengan melihat kepada nas yang seperti ini, maka persoalan persekitaran ketika hukuman hudud dilaksanakan perlu diambil kira.

Mewujudkan Suasana

Nabi s.a.w sebelum menegaskan tentang hudud, baginda mengujudkan suasana keadilan yang menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda. Pemerintah dan rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang. Tiada diskriminasi keturunan dan latar belakang. Suanana kebajikan; bantu membantu, tolong menolong antara masyarakat yang kukuh. Jaminan hak rakyat yang diberikan. Suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak, fasakh, khuluk dan selainnya. Tiada alasan untuk lelaki ataupun wanita berzina. Sementara suasana haram yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara haram.

Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada alasan rakyat memilih yang haram. Jika ada memilih yang haram juga, maka memang layak dihukum. Ini kerana pertama; dia telah mencemarkan suasana harmoni yang telah diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa yang berat yang condong memilih buruk sekalipun sukar dan menolak yang halal sekalipun mudah.

Perjuangan penting kita pada hari ini, ialah mengujudkan suasana yang kondusif ini sebelum sesuatu undang-undang ini dilaksanakan. Ini kerana, jika undang-undang hudud dilaksanakan; dihukum orang bawahan; dilepas orang atasan, dihukum penzina; diketatkan perkahwinan serta disusahkan talak dan fasakh, dihukum peminum arak, digalakkan gambaran arak, dihukum pencuri; dihalang hak rakyat serta dibiarkan rasuah dan salah guna harta negara dalam kalangan golongan atasan, dihukum pemberontak; dibiarkan kezaliman penguasa dan seterusnya, sudah pastilah hudud tidak dapat dilihat keindahannya.

Bahkan jika dilaksanakan hudud dalam suasana yang seperti itu, hanya membinasakan masyarakat. Rasulullah s.a.w menyebut:

“Wahai manusia! Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di Kelantan suasana kondusif untuk hudud terikat bukan sahaja dengan persekitaran dalam negeri tetapi juga dengan pentadbiran pusat. Selagi Kelantan tidak mendapat kerjasama Pusat sepenuhnya, tidak mungkin suasana kondusif itu dapat diwujudkan. Selepas itu banyak lagi perkaitan lain yang mesti dilangsaikan sebelum dilaksanakan. Maka, bukan menjadi kesalahan Kelantan jika beberapa hukuman hudud tidak dilaksanakan disebabkan keterbatasannya.

Kelantan telah memainkan peranan mempromosi hukuman itu. Walaupun masih terbatas disebabkan banyak kekangan, namun apa yang penting hukuman itu dibahaskan, dibincangkan dan dipromosikan. Ijtihad-ijtihad baru juga perlu dilihat bagi mencapai maksud keadilan jika ia dilaksanakan. Saya akan bahaskan dalam artikel yang akan datang insyaAllah.

Tuesday, September 20, 2011

Meninjau Pembangunan Lembah Sireh

Projek Pembangunan Lembah Sireh (Kota Bharu Waterfront & City) merupakan pembangunan hartanah terbesar negeri Kelantan yang dianggarkan menelan belanja RM 2 Billion. Kota Bharu Waterfront & City melibatkan pembangunan di kawasan tebus guna lembah Sungai Kelantan yang dikenali sebagai Lembah Sireh. Projek ini meliputi pembangunan pasar raya besar (Tesco Mall), terminal bas (Terminal Bas Kota Bharu), kedai pejabat, hotel bertaraf tinggi (high-end hotels), padang golf, masjid terapung, tapak kampus institusi pengajian tinggi swasta, taman awam, dan sebagainya.

Projek yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 202 hektar di tebing arteri Sungai Kelantan dan Jambatan Sultan Yahya Petra itu dijalankan mengikut beberapa fasa. Fasa 1 yang telah pun siap sepenuhnya merangkumi pasaraya Tesco serta puluhan lot-lot kedai. Dan kini pembinaannya telah memasuki fasa kedua yang membabitkan pembinaan 2,000 lot-lot kedai, pasaraya antarabangsa, hotel terkemuka dan esplanade sepanjang 4 km. Projek ini turut mengubah landskap kawasan sekitar Bandar Kota Bharu.

Tesco Mall

Kampus Kolej Master Skill, sebuah kolej swasta yang
semakin berkembang di negeri ini.

Deretan kedai yang sudah beroperasi.


Terminal Bas Kota Bharu (Terminal Sementara sebelum
terminal yang baru siap dibina).


Pembinaan sedang rancak berjalan.


Pembinaan jambaran Sultan Yahya Ke-2 sedang berjalan.

Jambatan Sultan Yahya Ke-2 dilihat dari tebing Sungai
Kelantan berlatarkan pemandangan pusat bandar
Kota Bharu.


Pemandangan Sungai Kelantan dari tebingnya yang
sedang dibangunkan.