Pages

Friday, November 5, 2010

Ku Li Akui Media dikawal Ketat

Menurut Tengku Razaleigh, Ali Parlimen Gua Musang, "cara lama dengan menggunakan media tradisional yang dikawal ketat oleh kerajaan, tidak lagi berkesan dalam kempen pilihan raya. Sebaliknya pendekatan melalui media baru yang lebih bebas. Katanya lagi, "Saya ingin pergi lebih jauh dari sini dan tidak lagi gunakan cara tradisi. "Masa sudah sampai untuk kita bebaskan media supaya tidak dikawal begitu ketat. Memang wajar pertimbangkan supaya media dibebaskan supaya tidak begitu dikawal."

Tambanya lagi, "Kita tengok ancaman keselamatan pun dah berkurangan. Masyarakat sekarang lebih banyak memilih media alternatif."

Agaknya bilakah hasrat yang menjadi tuntutan banyak pihak itu akan menjadi kenyataan? Rakyat sudah lama menanti. Teringin menghidu bau media yang wangi, tidak hapak dan tengik lagi.

Radio Malaysia Kelantan FM, bila nak bebas?

Thursday, November 4, 2010

Tangan Syaitan: Baca Ulasan Dr. Asri

Kaedah Penilaian Mohd Nor Idris Tidak Normal
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Merujuk kenyataan bekas calon BN, Ustaz Mohd Nor Idris mengenai YAB Menteri Besar Kelantan, Dato Nik Aziz Nik Mat: “Apabila dia hulur tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan…dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang dihulurkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan”. (Malaysiakini)

Saya melihat perlu perkara ini diulas, agar tidak menjadi ikutan atau pegangan sesetengah pihak. Walaupun itu merupakan kenyataan peribadi, tetapi apabila disiarkan dalam media, saya rasa terpanggil untuk memberikan pandangan. Bukan kerana hendak membela MB Kelantan semata, tetapi saya ingin menyanggah cara penghujahan sebegini agar tidak menjadi trend golongan agama nanti.

Saya fikir jika kita membenarkan hujah seperti digunakan untuk menilai insan lain, maka rosaklah alam ini. Bagaimana mungkin dengan mendakwa kasyaf atau dapat menyingkap rahsia seseorang dengan menggunakan unsur spiritual dijadikan ukuran dalam menilai seseorang? Jika ini dijadikan hujah dalam menilai atau menghukum seseorang, maka ramailah yang akan terzalim. Nanti akan datang pihak lain pula, lalu menghukum orang pula sebagai buruk berdasarkan kasyafnya atau mimpinya atau ilhamnya yang kesemua itu disandarkan kepada Tuhan. Lalu nama Allah dijadikan mainan. Dalam Islam, walaupun seseorang mungkin mempunyai ‘perasaan dalaman’nya yang tersendiri, namun itu tidak boleh dijadikan hujah dalam memburuk atau menilai orang lain tanpa bukti apath lagi untuk tatapan umum.

Nabi s.a.w yang menerima wahyu pun, namun dalam hadis baginda menyebut:

“Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, dalam menghukum dan menilai baginda berteraskan hujah. Maka kita dalam menilai seseorang hendaklah berdasarkan bukti dan hujah bukan sekadar perasaan hati, atau bisikan kasyaf atau mimpi. Jika hal itu dibolehkan, tentu baginda Nabi s.a.w terlebih dahulu melakukannya. Sebaliknya, penilaian atau hukuman tetap berteraskan bukti dan hujah.

Jika beliau (Mohd Nor) ingin mengkritik atau menilai MB Kelantan sebagai tangan syaitan, beliau hendaklah mendatang hujah dan bukti kejahatan yang melayakkan dinilai sedemikian rupa. Jika ada hujah, ia diterima. Jika tiada, ia tuduhan tanpa dalil.

Maka hendaklah kita ingat, bahawa kasyaf, mimpi, ilham dan seumpamanya bukan hujah dalam menentukan kebenaran atau kesalahan. Penentuan salah betul dalam Islam adalah fakta dan bukti. Al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) menyebut:

“Selemah-lemah hujah mereka (ahli bid`ah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: “Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!, buat ini”. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: “Aku melihat Nabi S.A.W dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini..dan memerintah aku sebegini”. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari`at. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan”( Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, cetakan Dar al-Kitab al-`Arabi, Beirut).

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu”. (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut.)

Monday, November 1, 2010

Aksi Panas di Galas


Aksi kumpulan yang memisahkan 'agama' dan 'politik' pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Galas, 26 Oktober 2010 yang lalu.

Thursday, October 28, 2010

Wang Tunai Buat The Red Warriors

Kerajaan negeri Kelantan berjanji akan memberi imbuhan berupa wang tunai kepada pemain pasukan bola sepak Kelantan yang berjaya ke final Piala Malaysia musim ini.

Menurut Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pemberian wang tunai tersebut ekoran kerajaan negeri merasakan ianya lebih sesuai berbanding imbuhan menunaikan umrah yang diberikan musim lalu.

"Imbuhan ada, tahun lepas kita bawa ke tanah suci, tapi dapat dirasai oleh suami sahaja, isteri tak dapat rasa apa-apa.

"Jadi tahun ini kita ubah teknik sikit, kita bagi wang tunai supaya suami sebagai pemain dapat rasa, isteri sebagai penonton dapat rasa, anak-anak pun seronok.

Kelantan akan berdepan pasukan Negeri Sembilan, pada Piala Malaysia edisi ke-84 di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu, 30 Oktober 2010.


Rakaman temubual Y.A.B Tuan Guru Nik Aziz dengan Radio Hot FM

Thursday, October 21, 2010

Festival Fesyen Islam Liberal?

Nama Nabi Muhammad terbalik pada baju.







Dato' Tom Abang Saufi (hadapan), salah seorang pereka fesyen untuk Festival Fesyen Islam.


Penaung Festival Fesyen Islam (berbaju merah) sedang bersalam dengan peserta.

Dr. Zulkifli Calon PAS di Galas

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang yang juga pengamal perubatan, Dr Zulkefli Mohamad diumumkan sebagai calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas 4 November ini. Pengumuman itu dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Majlis Pengisytiharan Calon di Dataran Ilmu, Gua Musang, kira-kira jam 11.54 malam tadi.

Tuesday, October 19, 2010

Monday, October 18, 2010

Yang Peka dan Yang Pekak

Mata ini agak pedih kerana terlalu banyak berhadapan dengan skrin laptop dari pagi hingga ke malam setiap hari. Namun saya gagahkan juga untuk menulis mengenai kedatangan artis Amarican Idol, Adam Lambert melalui konsertnya Glamnation Tour Live in Malaysia yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Khamis lepas. Kedatangan artis gay itu ke Malaysia mengganggu fikiran saya sejak seminggu dua yang lalu lagi. Saya merancang untuk menulis mengenai Adam Lambert sejak sebelum kedatangannya lagi. Namun lemas dalam kesibukan dan kepenatan. Sebagai penulis, perasaan saya tidak akan tenteram sehinggalah terhasilnya sebuah tulisan mengenai penyanyi ini.

Lambert, 28, ialah penyanyi pop, penulis lirik dan pelakon dari California. Dia yang pernah muncul dengan album For Your Entertainment pada 2009 dikecam hebat pelbagai pihak apabila melakukan beberapa adegan kontroversi di pentas Anugerah Award Amerika sebelum ini. Berikutan itu, rancangan Good Morning America terbitan Televisyen ABC di Amerika Syarikat membatalkan penampilannya kerana menolak budaya liar penyanyi itu.

'Kepekakkan' Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang tidak pernah mendengar suara-suara bantahan agar persembahan itu tidak dibenarkan, menambahkan lagi kegelisahan dan kemarahan saya. Bantahan pihak yang peka dan bertanggungjawab seperti Parti Islam Se-Malaysia (PAS) , Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) dipandang sepi bagaikan kentut yang hanya sedikit berbau tetapi tidak meninggalkan apa-apa kesan pun.

Persembahan anjuran Marctensia Entertainment dan syarikat rakaman Sony Music itu tetap dibenarkan dengan seribu alasan yang tidak boleh diterima. Akhirnya terlaksana juga konsert tersebut pada malam Jumaat yang mulia walau pun mendapat bantahan hingga ke saat-saat akhir.

Memorandum daripada Dewan Pemuda PAS, Pusat yang ditujukan kepada Pengerusi PUSPAL Datuk Kamaruddin Siaraf dan diserahkan sendiri di pejabat agensi itu barangkali dicampak ke dalam jamban. Solat hajat dan demonstrasi aman di perkarangan stadium barangkali dilihat seperti budak-budak yang asyik bermain dengan tahi sendiri sahaja.

Untuk menambahkan pengetahuan tentang tabiat songsang Lambert, saya luangkan masa untuk membuat penyelidikan melalui klip-klip video persembahannya dalam youtube. Klip-klip video itu jelas menunjukkan perilaku tidak bermoral Lambert seperti berikut:

'I Make You Crazy' - Lambert dilihat memegang kemaluan dari luar seluar berkali-kali, memegang punggung penari wanita, penuh dengan isyarat-isyarat lucah (isyarat melakukan masturbasi, seks oral dan hubungan seks), penari-penari wanita separuh bogel turut beraksi lucah.

'I Shake I Move
' - Mengandungi isyarat lucah melalui gerakan badan, menggunakan mic stand untuk beraksi lucah selain lirik berunsur lucah.
Italic
'Rude Boy' - Mengandungi aksi perilaku gay, isyarat seks oral, memegang kemaluan dari luar seluar, aksi hubungan seks dan berkucup sesama lelaki.

'Glamorgasm' - Mengandungi aksi lucah, menggosok-gosok kemaluan, menggoyangkan pinggul seperti melakukan hubungan seks dan memegang mic stand seperti memegang kemaluan.

'Sexy as Hell' - Mengandungi isyarat lucah, berpelukan dan berkucup dengan pemain gitar lelaki.

Dalam satu video klip bertajuk, 'Response to Out's Open Letter', Lambert menunjukkan isyarat lucah dengan menggunakan jarinya dan memberikan isyarat ciuman menggunakan bibirnya.

Saturday, October 16, 2010

Ibrahim Ali di ICU

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali kini dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang kerana masalah jantung. Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dijadual menjalani pembedahan jantung Isnin ini.

Tuesday, October 12, 2010

Ibrahim Ali dilucutkan Gelaran 'Datuk'


Istana Kelantan hari ini melucutkan gelaran 'Datuk' yang diberikan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Ibrahim Ali. Selain Ibrahim, gelaran 'Datuk' juga ditarik balik daripada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Wan Hashim Wan Daud di samping 2 individu yang lain.

Sumber: http://mstar.com.my/