Oleh IZANI ZAKARIA
Nama Restoran Sup Pak Mat Pulau Pisang semakin meniti di bibir para penggemar sup khasnya sup kepala ikan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Restoran ini semakin dikenali ramai dari sehari ke sehari. Apa lagi harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan mampu dibayar oleh pelbagai golongan. Oleh itu tidak hairanlah jika ada yang berulang kali berkunjung ke restoran ini untuk merasai kelazatan sup yang disediakan. Restoran ini terletak bersebelahan Medan Ikan Bakar, kedai Buloh dan tidak jauh dari Pantai Cahaya Bulan (PCB).
Menurut Pak Mat, kelainan supnya adalah kerana menggunakan
resepi yang diwarisi daripada arwah ibunya. Beliau tidak menggunakan perencah
sup yang dibeli di pasaran tetapi menggunakan perencah yang dicampur sendiri
sebagaimana yang diperoleh daripada ibunya.
Pak Mat |
“Adik
beradik Pak Mat sendiri pun mengakui mereka tidak pandai untuk mencampurkan
rempah ratus tersebut. Kemahiran ini hanya Pak Mat yang warisi daripada arwah
emak,” jelas Pak Mat.
Selain sup ikan dan sup tulang, restoran ini turut menyajikan
kelainan dengan memperkenalkan teh tarik madu.
Rasa teh tarik madu yang enak turut menarik perhatian pelanggan untuk
mengunjungi restoran tersebut. Menurut Pak Mat lagi, ada pelanggannya yang
memesan beberapa gelas teh tarik madu untuk diminum setiap kali berkunjung ke
situ.
Pak Mat yang peramah turut melayan sendiri para pelanggannya
dan sempat berbual-bual sambil bercerita tentang latar belakang restorannya
yang terletak di tebing sungai Kelantan itu. Setelah selesai menjamu selera,
Pak Mat akan mendekati pelanggan dan bertanya tentang rasa sup yang
disajikannya.
Sup ikan sedia untuk dinikmati pelanggan |
Pak Mat mesra melayan pelanggan |
Teh tarik madu yang dipesan oleh pelanggan |
Restoran yang semakin dikenali ramai ini turut dikunjungi
oleh pemimpin-pemimpin tempatan dan selebriti tanah air seperti bekas Menteri
Besar Kelantan, YB. Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Hj. Nik Abd. Aziz Nik Mat,
bekas Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Dato’ Dr. Awang Adek Husin, Dato’
Siti Nurhaliza Tarudin dan Fizo Omar.
Bagi yang ingin menikmati keindahan panorama sekitar sungai
Kelantan selepas menjamu selera pula bolehlah mendapatkan perkhidmatan ‘Kelate
River Cruise’ yang terdapat berhampiran restoran ini. ‘Kelate River Cruise’
adalah satu produk pelancongan yang terdapat di negeri Kelantan dan
berpengkalan di Medan Ikan Bakar. Terdapat beberapa pakej menarik disediakan
untuk para pelancong merasai dan melihat sendiri aktiviti harian dan keunikan
perkampungan nelayan di sekitar sungai Kelantan. Kemunculan Restoran Sup Pak
Mat, Medan Ikan Bakar dan ‘Kelate River Cruise’ turut membantu melonjakkan industri
pelancongan di negeri ini.
Kelihatan Medan Ikan Bakar Kedai Buloh yang terletak bersebelahan. |
Kemudahan permainan kanak-kanak turut disediakan. |
Kelihatan tebing Sungai Kelantan yang sedang dibangunkan |