Pages

Monday, September 25, 2017

DJ Islamik untuk Majlis Perkahwinan

Serikan hari bahagia anda dengan irama yang harmoni dan menyegarkan bersama Izaniza Sound Solutions.

Semoga hari bahagia anda menjadi ibadah dan memperoleh keredhaan Allah dengan persembahan yang tidak melanggar batas syariat.


Kota Bharu
Pasir Puteh
Bachok
Pasir Mas
Tumpat
Machang
Tanah Merah
Rantau Panjang
Kuala Krai
Jeli
Kuala Besut




Untuk tempahan PA System dan Deejay Islamik,

boleh hubungi kami:

En.Izani (012-2779458)
http://www.wasap.my/60122779458

Pn.Zaliza (017-6080603)
http://www.wasap.my/60176080603


Wednesday, July 22, 2015

Izaniza Sound Solutions


Assalamualaikum,
Izaniza Sound Solutions menyediakan perkhidmatan:
💖Sewaan PA System
💖Pengacaraan
💖DJ (Islamik) 
💖Voice Over

Kota Bharu,  Pasir Puteh, Bachok,  Pasir Mas, 
Tumpat,  Machang, 
Tanah Merah, Rantau Panjang, Jeli, Kuala Krai dan Kuala Besut. 

HUBUNGI KAMI:

En.Izani (012-2779458/010-8357832)
http://sewapasystem.wasap.my/
Pn.Zaliza (017-6080603)
http://rentalpasystem.wasap.my/

Tuesday, December 17, 2013

Sup Pak Mat Tarikan Baru di PCB



 

Oleh IZANI ZAKARIA 

Nama Restoran Sup Pak Mat Pulau Pisang semakin meniti di bibir para penggemar sup khasnya sup kepala ikan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Restoran ini semakin dikenali ramai dari sehari ke sehari. Apa lagi harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan mampu dibayar oleh pelbagai golongan. Oleh itu tidak hairanlah jika ada yang berulang kali berkunjung ke restoran ini untuk merasai kelazatan sup yang disediakan. Restoran ini terletak bersebelahan Medan Ikan Bakar, kedai Buloh dan tidak jauh dari Pantai Cahaya Bulan (PCB).


Menurut Pak Mat, kelainan supnya adalah kerana menggunakan resepi yang diwarisi daripada arwah ibunya. Beliau tidak menggunakan perencah sup yang dibeli di pasaran tetapi menggunakan perencah yang dicampur sendiri sebagaimana yang diperoleh daripada ibunya.
 
Pak Mat
“Adik beradik Pak Mat sendiri pun mengakui mereka tidak pandai untuk mencampurkan rempah ratus tersebut. Kemahiran ini hanya Pak Mat yang warisi daripada arwah emak,” jelas Pak Mat.


Selain sup ikan dan sup tulang, restoran ini turut menyajikan kelainan dengan memperkenalkan teh tarik madu.  Rasa teh tarik madu yang enak turut menarik perhatian pelanggan untuk mengunjungi restoran tersebut. Menurut Pak Mat lagi, ada pelanggannya yang memesan beberapa gelas teh tarik madu untuk diminum setiap kali berkunjung ke situ. 


Pak Mat yang peramah turut melayan sendiri para pelanggannya dan sempat berbual-bual sambil bercerita tentang latar belakang restorannya yang terletak di tebing sungai Kelantan itu. Setelah selesai menjamu selera, Pak Mat akan mendekati pelanggan dan bertanya tentang rasa sup yang disajikannya.

Sup ikan sedia untuk dinikmati pelanggan
 
Pak Mat mesra melayan pelanggan

Teh tarik madu yang dipesan oleh pelanggan
Restoran yang semakin dikenali ramai ini turut dikunjungi oleh pemimpin-pemimpin tempatan dan selebriti tanah air seperti bekas Menteri Besar Kelantan, YB. Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Hj. Nik Abd. Aziz Nik Mat, bekas Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Dato’ Dr. Awang Adek Husin, Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin dan Fizo Omar.


Bagi yang ingin menikmati keindahan panorama sekitar sungai Kelantan selepas menjamu selera pula bolehlah mendapatkan perkhidmatan ‘Kelate River Cruise’ yang terdapat berhampiran restoran ini. ‘Kelate River Cruise’ adalah satu produk pelancongan yang terdapat di negeri Kelantan dan berpengkalan di Medan Ikan Bakar. Terdapat beberapa pakej menarik disediakan untuk para pelancong merasai dan melihat sendiri aktiviti harian dan keunikan perkampungan nelayan di sekitar sungai Kelantan. Kemunculan Restoran Sup Pak Mat, Medan Ikan Bakar dan ‘Kelate River Cruise’ turut membantu melonjakkan industri pelancongan di negeri ini.

Kelihatan Medan Ikan Bakar Kedai Buloh yang terletak bersebelahan.
 
Kemudahan permainan kanak-kanak turut disediakan.

Kelihatan tebing Sungai Kelantan yang sedang dibangunkan

Wednesday, September 25, 2013

Hadiah 2013 di Hospital Gua Musang



 
PUKUL 3.07 petang, di Hospital Gua Musang, 2 September lalu, saya mendapat hadiah lagi. Hadiah yang tidak ternilai harganya daripada Yang Maha Esa yang telah mengatur seluruh kehidupan saya sejak azali. Selepas Ahmad Wazif, Ahmad Aakif dan Ahmad Nasiim, saya mendapat hadiah seorang lagi ‘Ahmad’ iaitu Ahmad Hafiy dalam usia ke-39 tahun ini. Hadiah ini boleh juga dianggap sebagai hadiah hari lahir saya yang jatuh pada 3 Ogos yang lalu.  ‘Alhamdulillah’ adalah sebaik-baik ucapan yang sebagai tanda kesyukuran kepada Allah yang mengurniakan seorang bayi comel yang sempurna sifatnya.  Saya percaya setiap yang bergelar ibu atau bapa tentu mengimpikan kelahiran seorang anak yang sempurna anggota dan akal fikirannya. Lalu, apabila dikurniakan zuriat sebagaimana yang diharapkan, ucapkanlah sebesar-besar kesyukuran kepada Allah Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.


Sudah tentu ucapan terima kasih tidak terhingga atas pengorbanan isteri tercinta, yang sanggup dan rela berdepan kepayahan dan kepedihan ketika mengandungkan dan melahirkan anak-anak kami tidak saya lupakan. Walaupun terlepas untuk menyaksikan saat-saat kelahiran Ahmad Wazif dan Ahmad Aakif, namun kesempatan menyaksikan detik-detik kelahiran Ahmad Nasiim dan Ahmad Hafiy benar-benar meninggalkan kesan di hati saya sebagai seorang suami dan bapa.  Rasa cinta dan sayang pada isteri melimpah ruah.
  
Ahmad Hafiy sejam selepas dilahirkan

Perihal pengalaman isteri  melahirkan dua orang anak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan seorang lagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pula tentu sekali berbeza dengan Hospital Gua Musang. Hospital Gua Musang bukan sahaja sebuah hospital yang baharu malah sebuah hospital yang aman, tenang dan mententeramkan. Tentu sekali agak jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan kesibukan HKL. HKL sangat sibuk dengan pesakit dan pengunjung yang ramai  sehingga amat menyukarkan kita untuk meletakkan kenderaan di kawasan hospital. 

Ketika berulang alik ke HKL semasa isteri bersalin atau untuk mendapatkan rawatan anak, saya selalunya terpaksa meletakkan kenderaan di luar kawasan hospital yang agak jauh. Saya tinggalkan isteri terlebih dahulu di kawasan hospital sebelum mencari tempat letak kereta di luar kawasan hospital. Setelah meletakkan kenderaan, saya terpaksa berjalan kaki pula ke dalam kawasan hospital. 

 
Begitulah keadaannya di HRPZ II, Kota Bharu. Terlalu sukar untuk mencari tempat meletakkan kenderaan dan kita terpaksa berjalan kaki agak jauh ke wad. Jumlah penghuni di wad bersalin juga terlalu ramai. Selalunya wanita bersalin akan ditempatkan di wad biasa walaupun mereka layak berada di wad kelas satu disebabkan berlaku kesesakan. Sementara itu, kesesakan turut berlaku di wad biasa. Katil-katil tambahan terpaksa digunakan dan diletakkan di antara katil-katil sedia ada untuk menampung jumlah penghuni yang ramai. Kesesakan ini menimbukan 
ketidakselesaan  kepada penghuni. 
 

Bagaimana pun di keadaan ini tidak berlaku di hospital Gua Musang. Selain mudah untuk meletakkan kenderaan, kesesakan tidak berlaku di dewan bersalin dan di wad bersalin. Pesakit akan mendapat tempat yang selesa tanpa bersesak-sesak dengan penghuni yang ramai. Alhamdulillah, Allah mengatur segala-galanya dengan baik sebagaimana yang didoakan dalam sujud dengan mentakdirkan kelahiran berlaku di sini. Kelahiran Ahmad Hafiy telah dipermudahkan sebagaimana yang diharapkan. Terima kasih Allah! Terima kasih isteriku?

S.K Jeram Tekoh Muncul Juara Dikir Barat PPD Gua Musang



Oleh IZANI ZAKARIA


GUA MUSANG – Dengan hanya menjalani latihan beberapa hari, Sek. Keb. Jeram Tekoh akhirnya muncul sebagai juara Pertandingan Dikir Barat (Kategori Sekolah Rendah) Peringkat PPD Gua Musang, menewaskan pasukan dikir barat dari SK. Renok Baru, SK. Tg. Muhammad Fakri dan SK. Limau Kasturi. Persembahan yang menampilkan bakat-bakat muda ini telah diadakan di Dewan Pusat Sivik, Gua Musang pada 28 Ogos lalu sempena Karnival Seni dan Kebudayaan PPD Gua Musang 2013.

SK. Jeram Tekoh mempertaruhkan Muhammad Agus Salim, 10 sebagai tukang karut dan Muhamad Hazim Azizi , 10 sebagai juara. Selain tukang karut dan juara, kumpulan ini turut disertai seramai 18 orang ahli. Mereka menyampaikan lagu-lagu bertemakan kenegaraan dan memupuk semangat perpaduan hasil ciptaan En. Azmi Ismail, Guru Bimbingan dan Kaunseling, SK. Jeram Tekoh.

Menurut Agus, dia tidak menyangka dapat memenangi pertandingan itu, apa lagi dipilih sebagai tukang karut terbaik. “Inilah kali pertama saya menyertai pertandingan dikir barat. Pada mulanya, saya sendiri tidak yakin saya dapat membuat persembahan dengan baik,” akui murid tahun 5 Bestari ini.

      Muhammad Agus Salim                       Muhammad Hazim Azizi


Jurulatih pasukan, En. Asmadi Ibrahim pula turut melahirkan rasa gembira dengan kemenangan ini walaupun menganggap masa yang diberikan untuk sesi latihan adalah tidak mencukupi. Menurut beliau, “kemenangan ini telah memberi keyakinan kepada pasukan ini untuk melangkah lebih jauh. Buat masa ini, kami akan menumpukan perhatian kepada pertandingan peringkat negeri yang dijadualkan pada 29 September nanti.”

Cikgu Asmadi... harap menang Peringkat Negeri

Selain menjadi juara pertandingan tersebut, pasukan ini  juga turut memenangi hadiah bagi persembahan terbaik, paluan alat muzik terbaik dan tukang karut terbaik. Sementara itu, juara terbaik disandang oleh juara dari Pasukan Dikir Barat SK. Tengku Muhammad Fakhri, Gua Musang.

Karnival Seni dan Kebudayaan PPD, Gua Musang turut mempertandingkan acara-acara kesenian yang lain seperti tarian dan nyanyian yang turut disertai oleh pelajar-pelajar sekolah menengah dan guru-guru. Pertandingan nyanyian untuk guru-guru diadakan pada sebelah malamnya.

 Bergambar bersama-sama jurulatih selepas pertandingan

Monday, March 11, 2013

Pembinaan Lebuhraya Rakyat Telah Bermula

MACHANG: Awal Febuari lalu kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai bermula. Ia bukan gimik seperti pernah diperlekeh sesetengah pihak sebelum ini.

Bermula di Bukit Bakar, Dun Kemuning kerja-kerja pembinaan mula dilaksanakan. Bukan sekadar rakyat yang akan mendapat manfaat, sebaliknya banyak peluang kerja ditawarkan melalui projek ini.

Kontraktor tempatan juga berpeluang mengisi tender projek yang ditawarkan. Inilah sejarah baru di Malaysia apabila projek lebuh raya dibina kerajaan negeri, sedangkan di negeri lain di bawah kerajaan persekutuan. (Sumber: Harakahdaily)


Wednesday, January 2, 2013

Debaran Berakhir

Debaran menanti buah daripada pohon-pohon yang saya tanam berakhir apabila ia gugur satu persatu pada 19 November 2012 yang lalu. Dan buah-buahnya banyak yang baik, manis dan boleh dimakan. Kerusi panas sebagai guru kelas dan guru Bahasa Melayu kepada sebuah kelas yang menjadi harapan besar di SK Jeram Tekoh saya duduki dalam keadaan resah gelisah sepanjang tahun 2012. Tempoh itu bukan sahaja menguji keupayaan murid-murid malah turut menguji keupayaan saya yang buat pertama kalinya diberi tanggungjawab seumpama itu sepanjang  tempoh 15 tahun mengajar.  Dalam tempoh itu saya telah memegang pelbagai jawatan di sekolah dan mengajar pelbagai jenis mata pelajaran bermula sebagai guru Sains, Bahasa Melayu, Kehamiran Hidup, Pendididkan Jasmani, Sivik dan Kewarganegaraan, Pendidikan Moral, Matematik, Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni, Dunia Muzik dan pernah menjadi guru kelas pemulihan khas selama beberapa tahun serta menjadi guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa selama 2 tahun tetapi belum pernah diberi tanggungjawab mengajar Bahasa Melayu untuk murid-murid UPSR.

Bahu yang memikul menjadi bertambah berat apabila terpaksa menggalas pelbagai tugas besar yang lain selain terpaksa menyelesaikan tugas sebagai pelajar di salah sebuah university tempatan. Bebanan berat  ini bagaimana pun saya galas dengan penuh sedar, yakin dan bertanggugjawab. Dan hasilnya tidaklah mengecewakan walaupun saya gagal memberikan gred ‘A’ kepada semua pelajar yang diajar, namun sudah cukup dengan 11 orang daripada 22 orang murid mendapat gred ‘A’ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman yang terbukti soalannya agak sukar daripada biasa dan 9 daripada 22 orang murid mendapat gred ‘A’ dalam Bahasa Melayu Penulisan. Selebihnya adalah gred ‘B’dan ‘C’.  Alhamdulillah, semua murid dari kelas yang saya ajar mencatatkan kelulusan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Walaupun hanya 2 orang daripada beberapa orang murid yang menjadi harapan sekolah mendapat keputusan 5A, namun ribut kencang di hati  saya menjadi reda sebaik sahaja mengetahui 2 orang murid tersebut adalah murid yang saya jadikan indicator kepada keberkesanan pengajaran saya . Tahniah buat murid tersayang Muhammad Asyraf bin Abdullah dan Mohd. Akiff bin Abdul Ghaffar yang telah mengamalkan sepenuhnya segala pesanan yang cikgu berikan.

 Muhammad Akiff bin Abdul Ghaffar (5A)

 Muhammad Asyraf bin Abdullah (5A)

   
Nor Diena bt. Azizi (4A 1B)

Wajah-wajah cemerlang UPSR 2012