Pages

Friday, August 17, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Sempena hari mulia yang akan tiba esok, saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung blog ini dan semua kenalan sama ada yang jauh mahu pun dekat. Mohon maaf atas keterlanjuran bicara dalam blog ini dan sepanjang perkenalan kita. Mudah-mudahan hari raya yang bakal disambut nanti akan dirahmati dan diberkati Allah. Saya macam biasa la. Sebelum hari raya hingga petang raya pertama akan berada di rumah mertua di rumah mertua di Sg. Sam Kuala Krai. Petang raya baru pulang ke rumah orang tua di Dewan Beta Kota Bharu.

Wednesday, August 15, 2012

Bersahur dengan Daging Pelanduk Pula

Sekali imbas, daging pelanduk kelihatan seakan-akan daging ayam kerana warnanya agak putih apabila digoreng. Rasanya yang lembut dan kenyal amat enak dimakan sama ada dengan nasi atau diratah begitu saja. Agaknya inilah tuah saya yang kembali bertugas di tempat sendiri. Kalau di Kuala Lumpur dahulu, usahkan dapat makan, melihat dagingnya pun saya tak pernah.

Kali pertama makan daging pelanduk pada tahun lalu, ketika isteri saya sedang mengandungkan anak ketiga kami. Saya beli dengan harga RM40 (biasanya RM50) daripada salah seorang penduduk kampung isteri saya yang memasang perangkap di hutan. Tuah bulan puasa pada tahun ini pula saya dapat merasai daging pelanduk buat kali kedua. Apabila bangun bersahur pada pagi ini, saya dihidangkan daging pelanduk goreng oleh ibu mertua saya. Rupa-rupanya, ketika saya sedang nyenyak tidur pada malam tadi, adik ipar saya pulang membawa dua ekor pelanduk yang diperoleh ketika bersama-sama kawannya pergi berburu. Kedua-dua ekor pelanduk tersebut diberikan kepada adik ipar saya kerana kawannya itu sydah selalu sangat makan daging pelanduk. Menurut ibu mertua saya, pelanduk yang baru diperoleh ini lebih besar sedikit daripada yang saya beli dahulu. Dagingnya pun lebih banyak.

Ketika mengunyah daging pelanduk pada waktu sahur, gigi saya tergigit beberapa biji peluru senapang yang masih terselit di celah-celah dagingnya. Pada mulanya saya sangkakan serpihan tulang kecil, tetapi apabila diperhatikan betul-betul, rupa-rupanya itu adalah peluru senapang yang telah menyebabkan kematiannya. Malah saya telah tertelan sebiji peluru yang tiba-tiba hilang dalam mulut.
Bukan sahaja daging pelanduk, saya juga pernah merasa betapa lembutnya daging landak. Ditakdirkan seekor landak tersesat masuk ke dalam rumah adik ipar saya yang terletak di tepi bukit. Lalu dia menangkapnya dan membawa ke rumah mertua saya untuk disembelih.  Saya yang kebetulan pulang pada hujung minggu turut memperoleh rezeki yang tidak disangka-sangka. Dapatlah saya merasa daging landak yang digulai dan digoreng. Bagaimana pun, sebagaimana memakan daging pelanduk, saya terbayang rupanya landak yang seakan-akan tikus ketika meratah dagingnya. Ia agak mengganggu tumpuan saya untuk menghayati keenakan dagingnya yang jarang-jarang ditemui itu.

Sunday, August 12, 2012

Qiam With Me: Kasih Rakyat Bertambah

Akhirnya saya terlepas juga untuk turut berada di Istana Mahkota, Kubang Kerian. Sejak mengetahui berita Sultan Muhammad V akan mengadakan program ‘Qiam With Me’ (qiamullail bersama-sama Sultan) ketika mengikuti kuliah Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu sehari sebelum puasa, saya telah memasang cita-cita untuk menjejakkan kaki ke istana yang menjadi kebanggaan rakyat negeri Kelantan itu. Saya tidak mahu ketinggalan untuk qiamullail bersama-sama Baginda Sultan. Sayangnya saya tidak tahu tarikh sebenar proram tersebut kerana sepanjang bulan Ramadhan saya tidak sempat ke Medan Ilmu. Jadual program Qariah Ramadhan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV juga kehabisan.

Saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini kerana inilah pertama kali istana negeri dibuka kepada orang ramai untuk menghidupkan bulan Ramadhan. Ia bukan sahaja pertama kali diadakan di negeri ini, malah juga pertama kali di Malaysia. Setakat ini belum ada mana-mana istana negeri di Malaysia dibuka kepada orang ramai. Apa lagi untuk berqiamullail. Inilah keistimewaan Sultan Kelantan. Dan inilah kelebihan yang dimiliki oleh rakyat negeri Kelantan. Memiliki Sultan yang bukan sahaja berjiwa rakyat bahkan  dilihat amat mementingkan cara hidup beragama. Keistimewaan dan kelainan Sultan Muhammad V telah lama meniti dari bibir ke bibir rakyat negeri Kelantan.

Program bersejarah ini diadakan pada hari Khamis, 9 Ogos 2012  bersamaan 20 Ramadhan 1433 hijrah di Dewan Jubli Perak, Istana Mahkota. Program yang julung-julung kali diadakan itu menerima sambutan amat luar biasa daripada rakyat yang mahu bersama-sama sultan kesayangan mereka. Khabarnya, ribuan rakyat negeri Kelantan hadir memenuhi dewan tersebut sehingga melimpah ke luar dewan. Di luar dewan, orang ramai memenuhi khemah-khemah yang disediakan.Turut hadir dalam program tersebut ialah pemimpin-pemimpin dan orang-orang kenamaan negeri termasuk Menteri Besar.

Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan oleh penceramah terkenal dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus. Kemudian diteruskan dengan solat sunat Tarawikh. Qiamullail pula dimulakan kira-kira pukul 4.00 pagi sehingga waktu sahur dan diteruskan dengan solat Subuh secara berjemaah.

Dengan adanya program seumpama ini telah menambahkan rasa kasih dan cinta rakyat negeri ini kepada Tuanku Sultan. Saya agak terkilan kerana terlepas untuk mengikuti program ini. Kebetulan pada tarikh yang sama saya tidak pulang ke Kota Bharu. Kini saya hanya boleh berharap agar program seumpama ini diadakan lagi pada masa-masa yang akan datang dan saya dapat menghadirinya.

Berikut adalah antara gambar-gambar sekitar program ‘Qiam With Me’yang saya petik daripada harakahdaily.net.

  
Ustaz Azhar Idrus sedang menyampaikan kuliah.
  
Ribuan rakyat yang hadir
 

  

Sultan Muhammad v dan Tengku Mahkota Kelantan 
(sebelah kanan baginda) mengaminkan doa.

Bersahur dengan Daging Burung

Seingat saya sudah hampir 30 tahun tidak merasai daging burung-burung hutan yang enak dan rangup. Ketika masih kecil saya sering mengikut kawan-kawan ke hutan melastik burung. Ada beberapa orang kawan saya yang handal melastik burung. Burung-burung kecil sebesar ibu jari akan jatuh terkulai apabila terkena anak batu yang menjadi peluru lastik. Saya yang menjadi tukang sembelih sebaik sahaja burung-burung yang patah sayap atau lebam di dada itu jatuh ke bumi. Masuk ke hutan melastik burung memang pengalaman yang amat menyeronokkan. Saat yang paling menyeronokkan adalah apabila burung yang dilastik jatuh. Kini pangalaman sewaktu kecil telah lama berlalu. Hanyut berlalu dengan cepatnya.
  
Burung-burung yang telah disembelih tetapi bulu-bulunya
masih disaluti getah pelekat.

Sebelum ini saya juga sering mendengar cerita isteri saya yang memberitahu dia sering menikmati daging burung dengan banyaknya ketika masih kecil kerana abang sulungnya, Zamri (abang ipar saya) yang kini menjadi tauke Kedai Emas ZR Suria di Gua Musang sering menangkap burung-burung di hutan dengan menggunakan getah pelekat atau pukat. Saya hanya dapat membayangkan betapa seronoknya menikmati daging burung dengan banyak berbanding seekor atau dua sebagaimana yang saya rasai sewaktu masih kecil. Bagaimana pun pada petang Jumaat lalu, adik ipar saya, Rudi pulang membawa sekumpulan burung yang mengena getah pelekat yang dipasangnya.

  
Burung-burung yang telah dicabut bulunya.

Burung-burung ditangkap menggunakan getah pelekat yang dipasang berhampiran lopak-lopak air atau takungan kecil di dalam hutan. Antara sekitar pukul 12.00 tengah hari hingga 6.00 petang burung-burung akan turun mandi di kawasan takungan air tersebut. Kali ini, lebih 20 ekor burung merbah melekat pada getah pelekat yang dipasang. Menurut adik ipar saya, lebih banyak burung dapat ditangkap jika musim kemarau atau musim panas kerana lebih banyak burung akan turun mandi untuk menyejukkan badan. Biasanya jika musim panas dia akan memperoleh tangkapan melebihi 100 ekor.

Seekor burung murai turut menjadi mangsa getah pelekat adik ipar saya. Burung murai yang dikenali sebagai ‘murai cere’ oleh rata-rata penduduk Kelantan ini dikatakan sangat berharga dan boleh mencecah harga beratus-ratus ringgit jika dijual. Malah kawan saya pernah menjual burung murai miliknya dengan harga RM 1000.00. Saya pernah diperdengarkan dengan 14 lagu nyanyian burung murai yang dirakam menggunakan telefon bimbit oleh salah seorang guru di tempat saya bertugas sekarang. Sungguh unik dan menawan. Saya yang jahil tentang nyanyian burung murai (sebenarnya burung berzikir kepada Allah) tiba-tiba terpukau dengan keunikan itu. Maha indah ciptaan Allah. Barangkali itulah sebabnya burung murai menjadi amat berharga bagi pengemar-penggemarnya.
   
Burung 'murai cere' diletakkan di dalam sangkar.

Pagi semalam, Sabtu, 11 Ogos lalu, saya makan sahur berlaukkan burung merbah goreng, ikan patin masak tempoyak dan tomyam campur yang dimasak oleh ibu mertua saya. Badan burung merbah agak besar sedikit berbanding burung kelicap yang berwarna warni atau burung ‘cak padi’ yang hitam legam (tak tau nama betulnya) yang saya makan pada waktu kecil dahulu. Daging dan tulang yang rangup dikunyah dengan enaknya. Alhamdulillah.